
BEAUFORT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu bertanding sekurang-kurangnya 50 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) jika berlaku kerjasama dengan pihak lain pada pilihan raya negeri (PRN17) akan datang.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Lumadan, Mazlan Joehari Manan berkata, ia wajar bagi memastikan GRS, sebagai gabungan parti lokal, kekal dominan memperjuangkan Sabah.
Katanya, dominasi perlu bagi mewujudkan kestabilan politik, namun yang paling penting selepas dominasi adalah aspek kerjasama selepas pilihan raya sebagaimana yang berlaku dalam kerajaan GRS-PH Plus ketika ini.
“Apa sekali pun bentuk kerjasama politik pada masa akan datang (PRN17), GRS harus dominan dalam agihan kerusi pilihan raya, seterusnya dominan dalam memperjuangkan hak rakyat melalui kerajaan negeri Sabah.
“Justeru, saya secara peribadi berpendapat, GRS kena ada sekurang-kurangnya separuh atau 50 kerusi daripada 73 Dun pada pilihan raya ini. Cadangan ini perlu dipertimbangkan pucuk pimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Moreh Ramadan PGRS Bahagian Lumadan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Sipitang merangkap Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS, Datuk Matbali Musah, di sini, Isnin lepas.
Sebelum ini, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mengesyorkan GRS bertanding di semua 73 kerusi pada PRN17 bagi memastikan gabungan itu terus dominan.
Adun Tambunan itu sebelum ini juga memaklumkan pendirian Star yang mahu hanya parti lokal bertanding pada PRN17 akan datang tanpa ada penglibatan parti nasional.
Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Pengerusi GRS berkata, keputusan mengenai sebarang bentuk kerjasama GRS hanya akan diputuskan dalam mesyuarat yang dijadualkan selepas Aidilfitri ini.
Dalam pada itu, Mazlan yang juga Pegawai Khas Kepada Ketua Menteri membayangkan, walaupun bekerjasama, kemungkinan berlaku “pertembungan sesama sendiri” di beberapa kerusi antara GRS dan rakan politik pada PRN17 ini.
Katanya, situasi itu disebabkan tiada persefahaman muktamad dicapai bagi kedudukan kerusi-kerusi terlibat dan jalan penyelesaian yang wajar adalah “perlawanan persahabatan” dalam kalangan GRS dan rakan kerjasama.
“Pendapat saya, jalan penyelesaiannya hanya ‘free fight’ jika tiada keputusan dicapai bagi mana-mana kerusi, dan kita perlu bertegas khususnya dalam memastikan kerusi-kerusi pilihan raya kita kekal ditandingi GRS,” tegasnya.

