GSF: Israel Tahan Lebih 450 Aktivis, 23 Rakyat Malaysia Antara Terlibat

3 Oct 2025 • 1:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Antara peserta GSF yang ditawan tentera Zionis - Gambar media sosial

KUALA LUMPUR — Pasukan tentera laut Israel menahan lebih 450 aktivis kemanusiaan, termasuk 23 rakyat Malaysia, selepas misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan ke Gaza dipintas di perairan antarabangsa, semalam.

Menurut Zionis, konvoi terdiri daripada 42 kapal itu membawa ancaman dan memiliki kaitan dengan aktiviti pengganas. 

Aktivis kemanusiaan Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, mengesahkan bahawa kesemua tahanan telah dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel. 

Beliau yang masih berada di kapal pemantau Jong Melayu memaklumkan, peguam GSF sudah mula berhubung dengan tahanan bagi memberi khidmat guaman.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan mengesahkan kesemua 23 rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat, dan usaha sedang dijalankan bagi membawa mereka pulang melalui negara ketiga.

Antara yang ditahan ialah penyanyi dan pelakon Heliza Helmi bersama adiknya Nur Hazwani Afiqah, selebriti Nurfarahin Romli atau Farah Lee, penyanyi Zizi Kirana, pelakon Ardell Aryana dan beberapa lagi aktivis termasuk wartawan veteran, Zainal Rashid Ahmad atau ZRA, pendakwah, dan pempengaruh media sosial.

image is not available
Antara aktivis Malaysia yang ditahan Zionis

Bagi memastikan hak mereka terpelihara, lima peguam Malaysia kini berada di Amman, Jordan, untuk bekerjasama dengan kumpulan guaman antarabangsa termasuk sebuah pusat guaman Palestin berpusat di Israel yang dikenali sebagai Adalah. 

Adalah turut mengecam proses perbicaraan pengusiran di Pelabuhan Ashdod yang dijalankan tanpa peguam serta tanpa notis awal, dan menyifatkannya sebagai pencabulan serius terhadap hak asasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, satu pertemuan tertutup dengan keluarga aktivis Malaysia akan diadakan bagi menyampaikan perkembangan sebenar dan memberi jaminan tentang keadaan mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku penaung inisiatif Sumud Nusantara dan Pengerusi ASEAN, telah menghubungi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi menggerakkan usaha diplomatik peringkat tinggi.

“Peserta sedar risiko yang mereka hadapi. Mereka terlatih dan memilih untuk meneruskan perjuangan demi membela rakyat Gaza yang tertindas. 

“Ini bukan jenayah, sebaliknya hak kemanusiaan,” katanya sambil menyeru seluruh rakyat Malaysia mengadakan solat hajat dan doa Qunut Nazilah hari ini.

Misi GSF kali ini menghimpunkan lebih 500 aktivis dari 47 negara, termasuk tokoh antarabangsa seperti aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon dan Liam Cunningham, bekas Datuk Bandar Barcelona Ada Colau, empat Ahli Parlimen Itali, serta cucu mendiang Nelson Mandela, Mandla Mandela.

Menurut penganjur, konvoi itu dipintas hanya 80 batu nautika dari Gaza dan pasukan Israel didakwa merempuh kapal, menggunakan meriam air, mengganggu komunikasi serta melakukan kekasaran dalam operasi selama hampir 12 jam.

Israel telah mengenakan sekatan ke atas Gaza sejak hampir 18 tahun lalu dab menyekat kemasukan pelbagai bantuan kemanusiaan. 

Misi GSF yang berlepas pada akhir Ogos lalu membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan, selain mesej keamanan serta solidariti dengan rakyat Gaza yang kini berdepan serangan berterusan dan kehilangan lebih 66,200 nyawa sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Pertubuhan antarabangsa termasuk PBB dan Amnesty International sebelum ini memberi amaran agar Israel tidak mengganggu flotilla, sambil menegaskan keperluan koridor kemanusiaan bagi melindungi orang awam. - Getaran, 3 Oktober 2025