
PETALING JAYA: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu dilaksanakan dengan sewajarnya jika ia lebih berkesan berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, kerajaan dalam masa yang sama tidak wajar mewujudkan sistem percukaian hibrid yang rumit, semata-mata untuk mengelak daripada menggunakan gelaran GST.
“Kerajaan perlu bersedia mempertimbangkan GST yang direka sebaiknya dengan perlindungan lebih kukuh, proses bayaran balik lebih pantas dan bantuan bersasar kepada rakyat berpendapatan rendah.
“Dasar percukaian berkesan bukan bergantung kepada gelaran diberikan terhadap sistem berkenaan, sebaliknya ia perlu dirangka berdasarkan keberkesanan pelaksanaannya. Justeru, kembalikan GST dengan pelaksanaan yang betul, jika sistem percukaian itu lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan terbuka untuk melaksanakan kajian terhadap keperluan menggabungkan SST dengan GST bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan bagaimanapun akan mengekalkan SST sebagai asas, namun tidak menolak kemungkinan menerima beberapa ciri GST yang dilihat sesuai bagi mewujudkan sistem percukaian lebih baik.
Dalam pada itu, Lip Eng turut menggesa kerajaan membuktikan mampu mencapai sasaran pulangan cukai bernilai RM59.6 bilion melalui sistem SST tahun ini, sebelum merangka sistem percukaian hibrid, menggabungkan SST dan GST.
Katanya, kerajaan perlu memperincikan jumlah keseluruhan dituntut semula oleh perusahaan berbanding RM59.6 bilion pulangan cukai disasarkan tahun ini, termasuk secepat mana pemulangan dilakukan.
“Kerajaan juga perlu memperincikan berapa jumlah diterima selepas tuntutan semula, selain sektor yang masih berdepan isu cukai berganda dan kos tambahan perlu ditanggung perusahaan bagi aspek pematuhan.
“Perincian ini bukan perkara kecil, sebaliknya akan menentukan sama ada pelaksanaan sistem baharu akan lebih mudah, adil dan berkesan berbanding SST,” katanya. – UTUSAN
The post GST perlu dilaksanakan jika ia berkesan appeared first on Utusan Malaysia.






