
KUALA LUMPUR: Cadangan memperkenalkan elemen kredit cukai input dalam sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) wajar diberi perhatian memandangkan mekanisme itu berpotensi menjadikan sistem percukaian lebih bersasar, selain membantu mengurangkan tekanan kos di sepanjang rantaian perniagaan.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ketua Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd. Sedek Jantan berkata, pendekatan berkenaan boleh menjadi antara pilihan untuk menambah baik struktur SST tanpa perlu mengubah keseluruhan sistem percukaian negara.
Beliau berkata, mekanisme kredit cukai input pada asasnya membolehkan cukai yang telah dibayar pada peringkat terdahulu dalam rantaian pengeluaran diambil kira ketika cukai dikenakan pada peringkat seterusnya.
“Sebagai contoh, jika pengeluar A dikenakan cukai RM10 dan pengeluar B dikenakan cukai RM13, pengeluar B boleh mengurangkan RM10 daripada cukai sebelumnya. Itu yang disebut sebagai kredit cukai input,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi forum bertajuk “Pilihan Sukar Asia, Mengurus Risiko Geoekonomi dan Geopolitik” sempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia 2026 di sini hari ini.
Forum itu turut membincangkan beberapa isu mengenai perpecahan blok perdagangan, kejutan tenaga dan komoditi serta ketidaktentuan aliran modal yang boleh mempengaruhi keputusan pelaburan, kos perniagaan, rantaian bekalan dan pertumbuhan ekonomi.
Antara panel yang terlibat ialah Pengerusi ASEAN India Economic Council (AIEC) dan Pengasas serta Pengerusi Goldtex Group, Malaysia, Datuk Ramesh Kodammal; Pengarah Institute of International and ASEAN Studies, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Prof. Dr. Phar Kim Beng; Ketua Pegawai Eksekutif Asia-Pacific Economics, Rajiv Biswas; Ketua Arkitek serta Penasihat AI, AIDT Lab, KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Prof. M Nazri Muhd.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis libat urus Belanjawan 2027 berkata, kerajaan bersedia mengkaji penggabungan ciri Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan SST bagi menambah baik sistem percukaian negara.
Beliau berkata, bagaimanapun, pangkal sistem percukaian negara masih berasaskan SST.
Dalam pada itu, Mohd. Sedek berkata pendekatan berkenaan boleh membantu mewujudkan sistem SST yang lebih bersasar kerana beban cukai dapat dilihat dengan lebih jelas di sepanjang rantaian pengeluaran dan pengedaran.
Katanya, perkara itu penting kerana sistem percukaian perlu mengambil kira keadaan sebenar ekonomi Malaysia, termasuk keperluan melindungi pengguna, selain memastikan perniagaan mampu mengekalkan daya saing.
“Apabila kita bercakap tentang GST dan SST, kita tahu kerajaan mahu memastikan harga barang kekal terkawal, terutama untuk melindungi rakyat dan kumpulan B40 daripada tekanan kenaikan harga,” katanya.
Beliau berkata, SST masih mempunyai peranan dari sudut menjana hasil kerajaan, namun reka bentuk sistem itu perlu terus diberi perhatian supaya matlamat kutipan hasil tidak meningkatkan tekanan terhadap kos perniagaan dan harga barangan pengguna.
Dalam konteks itu, katanya, mekanisme kredit cukai input berpotensi memberi manfaat kepada penjual kerana kredit daripada cukai yang telah dibayar sebelum ini dapat membantu mengurangkan tekanan kos yang akhirnya boleh mempengaruhi harga kepada pengguna.
“Kredit cukai input berkesan kepada penjual kerana apabila penjual boleh mendapat kredit daripada cukai sebelumnya, mereka mempunyai ruang untuk memastikan harga kekal lebih stabil,” katanya.
Mohd. Sedek berkata, pendekatan itu juga perlu dilihat dalam konteks ekonomi domestik yang berdepan ketidaktentuan kos, kadar faedah yang masih tinggi serta perkembangan ekonomi global yang boleh memberi kesan kepada Asia Tenggara.
“Keadaan berkenaan menyebabkan perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perlu mempunyai strategi lebih menyeluruh untuk menghadapi perubahan harga minyak serta gangguan logistik,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Sedek berkata, beliau turut menggariskan kerangka 5D yang merangkumi diversifikasi, pengurusan risiko, dolarisasi secara selektif, membina pilihan alternatif dan mengembangkan modal secara selektif sebagai antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan perniagaan, khususnya PKS.
Katanya, diversifikasi bukan sekadar membabitkan produk, sebaliknya perlu merangkumi pasaran, pembekal, pelanggan dan sumber pembiayaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber sahaja.
“Perkembangan geopolitik juga perlu dilihat daripada sudut peluang, bukan semata-mata risiko, dengan perniagaan perlu bersedia mengubah strategi, sumber bekalan dan penggunaan modal berdasarkan perubahan persekitaran ekonomi global,” katanya. – UTUSAN
The post Kredit cukai input mampu perkasa sistem SST, kurang tekanan kos appeared first on Utusan Malaysia.






