GST tidak diperkenal semula kerana bebankan rakyat, bukan politik

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 11:22 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

GST tidak diperkenal semula kerana bebankan rakyat, bukan politik

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Keputusan kerajaan tidak memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dibuat berdasarkan pertimbangan ekonomi dan kesannya terhadap rakyat, bukannya didorong pendirian politik, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan itu mengambil kira hasil kajian makroekonomi yang menunjukkan pelaksanaan GST berpotensi memberi beban lebih besar kepada rakyat berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini, lapor Berita Harian.

Menurutnya, perbandingan kutipan hasil GST pada 2018 dengan SST ketika ini turut menunjukkan jumlah kutipan yang sama, sekali gus menjadi antara pertimbangan kerajaan untuk mengekalkan sistem percukaian sedia ada.

"Mengapa kita tidak mahu (memperkenalkan semula GST)? Saya berkeras tak mahu GST? Bukan soal politik, apa ada politiknya kalau menguntungkan ekonomi negara dan menguntungkan rakyat.

"Saya bimbang, pertamanya boleh tak Beluran (Datuk Seri Dr Ronald Kiandee) memberi jaminan kesan dalam sistem GST diperkenalkan di kebanyakan negara kepada rakyat tidak lebih negatif?

"Tak boleh! Sebab prinsipnya apa? GST itu cukai kepada semua, (manakala) SST ialah cukai kepada peniaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ronald (PN-Beluran) pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ronald sebelum itu meminta penjelasan sama ada keengganan kerajaan memperkenalkan semula GST berpunca daripada pendirian politik atau pertimbangan lain.

Anwar menegaskan kerajaan tidak menolak sesuatu dasar percukaian semata-mata atas faktor politik sekiranya pelaksanaannya benar-benar memberi manfaat kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved