GST tidak akan diperkenal, bebankan rakyat

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 11:22 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: GST tidak akan diperkenal, bebankan rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) ketika ini kerana sistem percukaian itu bersifat menyeluruh dan berpotensi membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan kerajaan tidak memperkenalkan semula sistem GST bukan bukan didorong pertimbangan politik, sebaliknya bagi memastikan sistem percukaian negara tidak membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Beliau menjelaskan hasil kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ketika ini 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu sama seperti hasil kutipan GST pada 2017.

Katanya, keadaan itu menunjukkan tiada alasan untuk GST diperkenalkan semula bagi meningkatkan hasil kerajaan berbanding sistem percukaian sedia ada.

“GST itu cukai menyeluruh. Maknanya orang miskin, tengah miskin, walaupun ada sedikit pengecualian beberapa ratus item, tetapi prinsipnya itu SST cukai kepada peniaga, GST cukai kepada semua. Broadway tax.

“Jadi saya tidak faham mengapa kita pejuang-pejuang rakyat ni nak suruh cukai kepada rakyat. GST itu cukai kepada rakyat terbanyak. SST cukai kepada peniaga. Walaupun sebahagian kecil ni memang turun kepada rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan (PH-Ipoh Timor) Howard Lee Chuan How meminta kerajaan menjelaskan adakah GST mampu menjana lebih hasil untuk membayar hutang, membangunkan negara adakah ia lebih baik untuk perniagaan.

Mengulas lanjut, Anwar turut berkata, perbezaan ketara jumlah perniagaan yang terkesan di bawah GST dan SST menunjukkan kedua-dua sistem itu mempunyai pendekatan serta kesan berbeza terhadap ekonomi.

Katanya, kira-kira 700,000 perniagaan terkesan dengan pelaksanaan GST pada 2018, berbanding hanya 130,000 perniagaan di bawah SST.

“Pada 2018, sebanyak 700,000 perniagaan terkesan dengan GST, tetapi di bawah SST tahun ini hanya 130,000 perniagaan.

“Jadi, pada saya, kita ada pilihan sama ada cukai untuk peniaga atau cukai untuk rakyat secara menyeluruh. GST itu cukai untuk rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Namun katanya lagi, beliau terbuka jika pembangkang mahu terus memperkenalkan GST.

“Kita boleh adakan kempen dan perbahasan secara terbuka antara GST dengan SST. Saya sendiri mengalu-alukan cadangan sedemikian supaya perbahasan dapat dilakukan dengan lebih mendalam dan rakyat turut didedahkan kepada pendekatan kedua-dua sistem percukaian itu,” katanya.

Menjawab soalan sesetenah pihak yang membangkitkan bahawa Perdana Menteri pernah menyatakan GST merupakan sistem yang efficient and transparent (cekap dan telus), jelas Anwar, ia boleh dilaksanakan apabila tahap pendapatan rakyat meningkat.

“Sekarang, masih ada rakyat yang berpendapatan RM1,500, RM1,700 dan RM2,000. Jika kita mengenakan GST dalam keadaan ini, mereka akan terbeban.

“Apabila pendapatan rakyat secara keseluruhannya meningkat, sekurang-kurangnya RM4,000, pelaksanaan GST mungkin lebih munasabah,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Anwar turut mempersoal adakah sistem GST yang diperkenalkan di seluruh dunia tidak akan memberikan kesan negatif kepada rakyat.

“Itu tidak boleh dijamin. GST ialah cukai kepada semua, manakala SST ialah cukai kepada peniaga.

“Saya memilih sistem cukai kepada peniaga, sementara Beluran (Datuk Seri Ronald kiandee) memilih sistem cukai kepada semua. Itulah perbezaan sistem tersebut.

“Bagi saya, ini bukan soal pertimbangan politik, tetapi satu pertimbangan ekonomi makro yang penting dan turut dibahaskan di banyak negara, bukan hanya di Malaysia,” katanya.

 

The post GST tidak akan diperkenal, bebankan rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved