Hasil KLCCP Stapled Group meningkat kepada RM443.7 juta pada 3QFY26, umum dividen 9.5 sen

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 5:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil KLCCP Stapled Group meningkat kepada RM443.7 juta pada 3QFY26, umum dividen 9.5 sen Image from: Hasil KLCCP Stapled Group meningkat kepada RM443.7 juta pada 3QFY26, umum dividen 9.5 sen hamden23/11/2026 - 17:23 Segmen peruncitan yang merangkumi Suria KLCC dan Menara 3 PETRONAS pula mencatatkan hasil RM142.5 juta. - Gambar/ BERNAMA Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov - KLCCP Stapled Group mencatatkan peningkatan hasil kepada RM443.7 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), berbanding RM429.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu, disokong prestasi stabil segmen hartanah pejabat dan peruncitan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, peningkatan hasil itu turut menyumbang kepada kenaikan keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan kepada RM241.6 juta bagi suku berkenaan.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pertama 2026 (9M 2026), hasil kumpulan meningkat kepada RM1.27 bilion, manakala PBT bertambah kepada RM716.7 juta berbanding RM711.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Susulan prestasi kewangan itu, kumpulan mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 9.50 sen bagi setiap sekuriti stapled untuk suku berkenaan, menjadikan jumlah dividen kumulatif bagi sembilan bulan pertama meningkat kepada 28.10 sen sesaham.

 

Segmen pejabat kekal sebagai penyumbang utama keuntungan kumpulan dengan merekodkan hasil RM147.4 juta dan PBT RM122.1 juta.

 

Prestasi itu disokong perjanjian pajakan bersih tiga pihak (Triple Net Lease) serta pajakan jangka panjang bagi aset ikonik termasuk Menara Berkembar PETRONAS, Menara 3 PETRONAS, Menara ExxonMobil dan Menara Dayabumi.

 

Peningkatan kadar sewa di Menara ExxonMobil serta kos pembiayaan lebih rendah susulan penyemakan semula Sukuk Murabahah KLCC REIT turut menyokong keuntungan segmen berkenaan.

 

Suria KLCC, Menara 3 PETRONAS catat hasil RM142.5 juta

Segmen peruncitan yang merangkumi Suria KLCC dan Menara 3 PETRONAS pula mencatatkan hasil RM142.5 juta dengan PBT RM112.2 juta, disokong kadar pengisian penyewa yang tinggi serta pertumbuhan kadar sewaan.

 

Daya tarikan pusat beli-belah turut diperkukuh menerusi pengenalan konsep peruncitan berasaskan pengalaman, termasuk pembukaan Ralph’s Coffee dan penstrukturan semula butik APM Monaco.

 

Sementara itu, segmen perhotelan menerusi Mandarin Oriental, Kuala Lumpur merekodkan hasil RM58.8 juta dan PBT RM4.5 juta.

 

Prestasi segmen itu sedikit perlahan berikutan kerja pengubahsuaian ruang yang sedang dijalankan, namun impaknya dapat dikurangkan menerusi aktiviti makanan dan minuman (F&B) serta penganjuran majlis.

 

Segmen perkhidmatan pengurusan pula mencatatkan hasil RM116.9 juta berikutan peningkatan aktiviti pengurusan fasiliti dan pendapatan tempat letak kereta, meskipun PBT menyusut sedikit sebanyak 1.5% akibat perbelanjaan operasi lebih tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KLCCP Stapled Group, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, kumpulan terus membuktikan daya tahan operasi dalam persekitaran perniagaan mencabar menerusi kestabilan perniagaan teras.

 

Beliau berkata, menjelang akhir tahun, kempen perayaan, acara sambutan Ambang Tahun Baharu serta inisiatif pemakmuran presint dijangka memainkan peranan penting dalam meningkatkan kehadiran pengunjung dan memperkukuh daya tarikan destinasi kumpulan.

 

Kekal optimis 

Dari segi prospek, KLCCP Stapled Group kekal optimis secara berwaspada dalam menghadapi cabaran persekitaran luar, dinamik pasaran tempatan dan ketidaktentuan geopolitik.

 

Kerja pengubahsuaian pangsapuri perkhidmatan Mandarin Oriental yang dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir November 2026 akan membolehkan hotel itu memanfaatkan permintaan tinggi sempena musim cuti akhir tahun dan sepanjang 2027.

 

Selain itu, segmen peruncitan akan melaksanakan pelbagai kempen perayaan dan acara promosi bagi meningkatkan kehadiran pengunjung, manakala segmen pejabat dijangka terus menyediakan aliran pendapatan stabil disokong profil penyewa berkualiti tinggi serta pajakan jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved