GTA Holdings sasar perluas MRO, pasaran strategik selepas penyenaraian di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GTA Holdings sasar perluas MRO, pasaran strategik selepas penyenaraian di Pasaran ACE Image from: GTA Holdings sasar perluas MRO, pasaran strategik selepas penyenaraian di Pasaran ACE liza08/09/2026 - 10:30 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept – GTA Holdings Berhad merancang menggunakan hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) untuk memperkukuh keupayaan sokongan penerbangan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), selain berkembang ke pasaran strategik di luar negara susulan penampilan pertamanya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif GTA Holdings, Dato’ Nonee Ashirin Dato’ Mohd Radzi berkata, penyenaraian itu menyediakan platform kepada syarikat untuk melaksanakan fasa pertumbuhan seterusnya serta memperkukuh peranannya dalam ekosistem aeroangkasa Malaysia.

 

“Dengan hasil daripada IPO ini, kami akan memperkukuh keupayaan sokongan penerbangan dan MRO, berkembang ke pasaran strategik serta memperkukuh ekosistem aeroangkasa Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan sempena penyenaraian saham syarikat itu.

 

Saham GTA dibuka pada 35 sen, sama dengan harga IPOnya, di bawah nama saham “GTA” dan kod saham “0469”.

 

Syarikat itu beroperasi dalam segmen khusus industri sokongan penerbangan dengan membekalkan enjin pesawat dan helikopter, modul enjin, aksesori serta alat ganti, di samping menyediakan perkhidmatan MRO dan program penyelenggaraan.

 

Beroperasi dari Helicopter Centre di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, GTA menyediakan perkhidmatan kepada pengendali penerbangan, pelanggan berkaitan MRO dan pasaran berkaitan pertahanan. Syarikat itu turut mempunyai hubungan berkaitan pengeluar peralatan asal (OEM) dalam ekosistem Safran S.A. dan EPI, Inc.

 

RM10 juta untuk pengembangan MRO helikopter di Timur Tengah

GTA memperuntukkan RM25 juta daripada hasil IPO untuk membayar balik sebahagian pembiayaan bank yang digunakan bagi membangunkan kemudahan operasi baharu.

 

Sebanyak RM10 juta lagi diperuntukkan bagi membiayai rancangan pengembangan aktiviti MRO helikopter di Timur Tengah, manakala RM5.9 juta akan digunakan untuk mengembangkan perkhidmatan MRO bagi gear pendaratan, roda dan brek pesawat sayap tetap.

 

Syarikat itu turut memperuntukkan RM24.15 juta untuk modal kerja dan RM6.7 juta bagi menampung perbelanjaan penyenaraian.

 

Nonee Ashirin berkata, GTA berhasrat memanfaatkan keupayaan teknikal dan kerjasama industrinya untuk mengejar pertumbuhan mampan serta peluang global selepas penyenaraian tersebut.

 

Ketua Pasaran Ekuiti Hong Leong Investment Bank Berhad, Phang Siew Loong berkata, kepakaran teknikal khusus, rekod operasi dan hubungan berkaitan OEM yang dimiliki GTA meletakkan kumpulan itu pada kedudukan yang baik untuk memperkukuh kehadirannya dalam industri MRO penerbangan Malaysia.

 

Hong Leong Investment Bank merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO tersebut. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved