Pioneer Heat terlebih langgan 47.8 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 2:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pioneer Heat terlebih langgan 47.8 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Image from: Pioneer Heat terlebih langgan 47.8 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE liza08/09/2026 - 14:57 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept – Tawaran awam permulaan (IPO) Pioneer Heat Holdings Berhad terlebih langgan sebanyak 47.8 kali selepas menerima 9,512 permohonan bagi 846.47 juta saham daripada pelabur awam Malaysia.

 

Pioneer Heat yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan mekanikal berkata jumlah permohonan itu menunjukkan sambutan yang tinggi daripada pelabur menjelang penyenaraian syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 17 September 2026.

 

Daripada jumlah tersebut, bahagian awam Bumiputera menerima 5,142 permohonan bagi 506.08 juta saham, dengan lebihan langganan sebanyak 57.35 kali.

 

Sementara itu, sebanyak 4,370 permohonan bagi 340.4 juta saham diterima daripada bahagian awam Malaysia yang lain dengan lebihan langganan sebanyak 38.25 kali.

 

Sebanyak 10.407 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak serta pihak yang menyumbang kepada kejayaan Pioneer Heat dan anak syarikatnya turut dilanggan sepenuhnya.

 

Struktur Tawaran Awam Permulaan

IPO Pioneer Heat melibatkan penerbitan 86.7 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 17.345 juta saham sedia ada.

 

Daripada saham baharu itu, sebanyak 17.345 juta saham atau kira-kira 5% daripada modal saham diperbesarkan kumpulan diperuntukkan bagi permohonan orang awam Malaysia.

 

Sebanyak 10.407 juta saham atau kira-kira 3% pula diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak serta pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Sementara itu, sebanyak 58.948 juta saham baharu atau kira-kira 17% daripada modal saham diperbesarkan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Sebanyak 17.345 juta saham sedia ada atau kira-kira 5% daripada modal saham diperbesarkan turut ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

t
Wong Wei Ken

 

Perluas Keupayaan Operasi

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Pioneer Heat Holdings Berhad, Wong Wei Ken berkata pihaknya berbesar hati dengan sambutan pelabur terhadap IPO berkenaan.

 

Menurutnya, sambutan itu mencerminkan keyakinan terhadap kepakaran khusus, rekod operasi dan rancangan pertumbuhan Pioneer Heat ketika kumpulan itu menghampiri tarikh penyenaraian.

 

Beliau berkata hasil IPO akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti operasi menerusi pembinaan ibu pejabat baharu di Sendayan dan pejabat baharu di Sarawak.

 

“Pioneer Heat juga akan mendapatkan mesin dan peralatan tambahan bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan serta memenuhi keperluan pelanggan dalam sektor industri utama,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan Malacca Securities Sdn Bhd, Lim Chia Wei pula berkata lebihan langganan IPO itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap model perniagaan, keupayaan teknikal dan prospek pertumbuhan Pioneer Heat.

 

Pioneer Heat mempunyai pengalaman operasi sejak 1997 dan menyediakan perkhidmatan kejuruteraan mekanikal termasuk kejuruteraan sistem paip, rawatan haba, pengurusan bebibir serta ujian tanpa musnah (NDT) kepada sektor minyak dan gas, petrokimia, utiliti dan pembuatan.

 

Kumpulan itu turut menjalankan projek kejuruteraan awam bagi pembinaan kemudahan industri dan kemudahan berkaitan, selain menyokong keseluruhan kitar hayat loji industri merangkumi pembinaan, penyelenggaraan, kerja baik pulih berkala, pengubahsuaian dan pemulihan.

 

Pioneer Heat dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada 17 September 2026, dengan Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved