GTA, Safe Connect perkenal sistem keselamatan udara baharu

23/05/2025 - 12:46
Global Turbine Asia memeterai MoA dengan Safe Connect di LIMA 2025. Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 23 Mei - Global Turbine Asia (GTA) terus mengukuhkan peranannya dalam sektor angkasa dan aeroangkasa apabila menjalin kerjasama dengan syarikat Safe Connect, bagi membangunkan sistem Continuing Airworthiness Management Organisation (CAMO) dalam memastikan keselamatan operasi udara.
Sistem CAMO akan membantu meningkatkan keselamatan penerbangan dan pematuhan piawaian industri dalam sektor penerbangan awam dan ketenteraan, sambil memudahkan perancangan penyelenggaraan dan pengurusan dokumen.
Ia juga dijangka mampu memperkukuh kesiapsiagaan operasi dan mengurangkan kos penyelenggaraan melalui pengurusan yang lebih cekap.
Pengarah Eksekutif GTA, Azhar Abdul Halim berkata, pihaknya komited untuk membantu Malaysia dan ASEAN bersaing di peringkat global dalam sektor aeroangkasa.
Jelas beliau, kerjasama tersebut juga dijangka membawa pulangan ekonomi yang besar dan mengukuhkan kedudukan Malaysia serta ASEAN dalam industri aeroangkasa dunia.
"Melalui kerjasama strategik ini, kami bukan sahaja mendorong daya cipta dan pembangunan industri, malah memberi fokus kepada pembangunan bakat tempatan yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Memorandum Perjanjian (MoA) berkenaan ditandatangani sempena LIMA 2025 di Langkawi, kelmarin.
Pada acara tersebut, GTA turut memeterai dua lagi perjanjian iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Malaya (UM) dan Crescent Engineering (M) Sdn Bhd.
Kerjasama dengan UM dilaksanakan bagi membina hubungan jangka panjang dalam bidang pendidikan, teknologi dan pembangunan sosioekonomi.
Ia merangkumi pemindahan teknologi, pembangunan harta intelek, serta pembiayaan seperti modal teroka dan biasiswa.
Selain itu, ia turut melibatkan latihan kemahiran baharu, penyelidikan bersama dan program CSR.
Perjanjian dengan Crescent Engineering pula menyaksikan tumpuan diberi kepada bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam kejuruteraan mekanikal.
Kerjasama berkenaan akan memberi fokus kepada reka bentuk, pembaikan dan pembuatan peralatan mekanikal dengan berkongsi kemudahan dan kepakaran teknikal.
Ia dijangka dapat mempercepat proses prototaip, mengurangkan kos dan mempercepat penghasilan rumusan kejuruteraan baharu ke pasaran. - DagangNews.com
standard


