Sistem perolehan pertahanan Malaysia antara yang terbaik di ASEAN - Thales

23/05/2025 - 16:08
Gambar/Thales
KUALA LUMPUR 23 Mei - Syarikat pertahanan global, Thales Group, menyambut baik perkembangan positif dalam proses pembelian peralatan pertahanan Malaysia yang semakin matang dan berdaya saing, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada syarikat antarabangsa untuk menawarkan teknologi moden dan tahan lama.
Naib Presiden Thales Asia, Nicolas Bouverot berkata, permintaan terhadap teknologi canggih di Malaysia semakin meningkat, seiring dengan keupayaan syarikatnya dalam bidang pertahanan, aeroangkasa, keselamatan siber dan maritim.
"Malaysia kini memiliki antara ekosistem pertahanan paling maju di Asia Tenggara, hasil pelaburan jangka panjang dalam membangunkan keupayaan tempatan," katanya kepada SunBiz semasa LIMA 2025.
Pada acara itu, Thales menerima kontrak untuk membekalkan dua radar GM400 Alpha (GM400α) tambahan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Radar tersebut boleh mengesan ancaman dengan pantas dan tepat sejauh 515 kilometer.
Ia juga adalah lanjutan kepada pembelian radar pertama pada 2023, menunjukkan keyakinan TUDM terhadap teknologi Thales.
Majlis menandatangani perjanjian disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Pengarah Negara Thales Malaysia, Francois-Xavier Boutes.

Thales juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat tempatan, Advanced Defence Systems Sdn Bhd (ADS), untuk membangunkan radio taktikal digital dan sistem komunikasi darat yang lebih moden bagi pasukan keselamatan.
Selain itu, Thales bekerjasama dengan Novatis Resources Sdn Bhd untuk membekalkan simulator penerbangan penuh (Reality-H AW139) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi latihan juruterbang.
Bouverot dalam pada itu berkata, antara kelebihan utama dalam sistem pembelian pertahanan Malaysia ialah pelaksanaan program kerjasama industri (ICP) atau polisi 'offset', yang mengutamakan penglibatan syarikat tempatan dalam setiap pembelian.
Menurutnya, dasar berkenaan menggalakkan syarikat asing beroperasi di dalam negara, sekali gus meningkatkan kawalan Malaysia ke atas aset penting.
Thales ketika ini mempunyai lebih 100 kakitangan di Malaysia dan mengendalikan empat pusat sokongan di seluruh negara termasuk di operasi kapam selam di Kota Kinabalu, kapal permukaan (Lumut), sistem kenderaan (Pekan) dan sistem komunikasi (Kuala Lumpur).
Thales juga bercadang untuk menubuhkan pusat kecemerlangan radar di Malaysia dengan kerjasama Weststar Group, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pelaburan dan peranan serantau. - DagangNews.com
featured standard

