
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, didakwa silap langkah apabila menolak enam cadangan fiskal dan kewangan yang dikemukakan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta rakyat berdepan tekanan kos dan cabaran ekonomi yang semakin sukar.
Enam cadangan itu dikemukakan ketika pertemuan dengan Anwar di pejabat rasmi Perdana Menteri pada 20 Julai lalu, termasuk menaikkan nilai ambang e-Invoicing kepada perniagaan dengan hasil tahunan RM5 juta, penubuhan Tribunal Pembayar Cukai khas serta pemansuhan caruman dua peratus KWSP oleh majikan bagi pekerja asing.
Cadangan lain ialah mempercepatkan dan mendigitalkan proses pengambilan pekerja asing, melaksanakan moratorium bayaran faedah selama setahun bagi pinjaman PMKS sedia ada serta menyediakan pinjaman RM5 bilion tanpa faedah dan cagaran bagi pembiayaan RM50,000 pertama kepada 100,000 PMKS.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu amat penting bagi memastikan kelangsungan kira-kira 1.1 juta PMKS yang menjadi antara tonggak utama ekonomi negara.
Katanya, PMKS kini menyumbang kira-kira 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain menyediakan 48 peratus pekerjaan dan hampir 13 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.
“PMKS bukan sektor kecil yang boleh dibiarkan menghadapi tekanan pasaran sendirian. Sumbangannya kepada ekonomi, pekerjaan dan eksport negara amat besar.
“Kerajaan mahu meningkatkan sumbangan PMKS kepada 40 peratus KDNK menjelang 2030, tetapi pada masa sama bantuan yang lebih konkrit perlu diberikan kepada mereka untuk menghadapi peningkatan kos dan persaingan yang semakin sengit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata, tekanan terhadap PMKS semakin ketara berikutan kenaikan kos susulan lonjakan harga minyak serta persaingan harga daripada syarikat asing yang menawarkan produk pada harga lebih rendah.
Dalam keadaan itu, katanya, sektor perbankan juga wajar memainkan peranan lebih besar dalam membantu pelanggan PMKS yang selama ini menjadi sumber perniagaan dan keuntungan industri berkenaan.
“Industri perbankan mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM6.5 bilion atau 13.5 peratus pada 2025, daripada RM48.3 bilion pada 2024 kepada RM54.8 bilion.
“Tidak ada industri atau sektor di Malaysia yang memiliki prestasi keuntungan begitu tinggi. Maka, industri perbankan harus menghulurkan tangan membantu pelanggan PMKS yang selama ini memberikan mereka keuntungan yang lumayan,” katanya.
Beliau berkata, cadangan pembiayaan RM5 bilion tanpa faedah dan cagaran, khususnya bagi RM50,000 pertama untuk 100,000 PMKS, perlu dilihat sebagai satu bentuk pelaburan terhadap daya tahan ekonomi negara dan bukannya semata-mata kos kepada kerajaan.
Katanya, sebahagian daripada kos pelaksanaan langkah berkenaan juga boleh ditanggung bersama oleh sektor perbankan.
“Kerajaan tidak boleh hanya melihat angka pertumbuhan ekonomi di peringkat makro sedangkan di peringkat akar umbi, PMKS berdepan kos operasi, kekangan tenaga kerja, tekanan pembiayaan dan persaingan harga yang semakin hebat.
“Kalau 1.1 juta PMKS ini terjejas, kesannya bukan hanya kepada pemilik perniagaan tetapi juga kepada pekerja, keluarga dan rantaian bekalan seluruh negara,” katanya.
Beliau menegaskan enam cadangan berkenaan bukan bertujuan memberikan keistimewaan kepada PMKS, sebaliknya menyediakan ruang bernafas supaya sektor itu mampu bertahan, mengekalkan pekerjaan dan terus menyumbang kepada ekonomi.
“Persoalannya sekarang ialah sama ada kerajaan sanggup mengambil langkah berani untuk membantu PMKS ketika mereka memerlukannya atau menunggu sehingga sebahagian daripada mereka terpaksa menutup operasi sebelum tindakan diambil.
“Kerajaan masih mempunyai ruang untuk menilai semula cadangan tersebut demi memastikan agenda meningkatkan sumbangan PMKS kepada 40 peratus KDNK menjelang 2030 tidak sekadar menjadi sasaran di atas kertas,” katanya.
The post Guan Eng dakwa kerajaan tolak enam cadangan bantu PMKS appeared first on Utusan Malaysia.






