Tekanan dalaman parti antara faktor Nurul Izzah letak jawatan

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 8:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

nurul izzah

KUALA LUMPUR: Tekanan dihadapi dari dalam parti didakwa antara punca Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR.

Sumber pimpinan parti mendedahkan, tekanan diberikan itu atas dakwaan Nurul Izzah tidak memainkan peranan dan tugas sebaiknya sebagai timbalan presiden.

Katanya, banyak program-parti yang sepatutnya Nurul Izzah perlu ke hadapan namun ia tidak berlaku seperti yang diharapkan.

“Saya tidak faham kenapa perkara ini berlaku. Selepas pemilihan parti, kita memilih Nurul Izzah untuk meneruskan perjuangan parti tetapi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) pun, memang dia turun tetapi tidak all out.

“Begitu juga di program-program lain. Usaha beliau memang ada tetapi sangat tidak cukup untuk membantu parti.

“Apatah lagi meletak jawatan dalam keadaan parti lemah ketika ini, kita baru sahaja tewas dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan. Perkara ini tidak patut berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Khamis lalu, Nurul Izzah mengumumkan keputusannya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagaimanapun menolak peletakan jawatan itu.

Sementara itu, menurut sumber itu lagi, PKR bukan sahaja berhadapan tekanan daripada pembangkang malah menerima kritikan daripada bekas rakan politik dan mungkin ia memberi kesan kepada Nurul Izzah.

“Jadi, apabila Nurul Izzah memberi idea untuk Rafizi memegang jawatan sebagai timbalan presiden kedua PKR, dan idea itu ditolak, maka sedikit sebanyak saya yakin perkara itu juga memberi kesan kepada Nurul Izzah, apatah lagi Rafizi keluar parti dan ambil alih parti lain pula,” katanya.

Dalam pada itu sumber lain turut memberitahu, penilaian kepimpinan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden dikatakan akan disebut dalam Kongres PKR bermula 15 Ogos ini.

“Itu yang dimaklumkan tetapi saya tiada maklumat lanjut tentang perkara itu. Tarikh 16 Ogos itu akan benar-benar ‘panas’ kerana itu adalah waktu penggulungan dan tarikh yang sama juga DAP akan menentukan hala tuju mereka dalam kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, ruang perlu diberikan Nurul Izzah dan semua pihak perlu fokus perkukuh parti sehingga akhir penggal mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kita perlu beri ruang kepada beliau. Seperti kenyataannya, beliau masih dalam parti dan tidak meninggalkan parti.

“Fokus utama sekarang adalah terus menguatkan parti dan memastikan agenda reformasi terus dilaksanakan,” katanya lagi.-UTUSAN.

The post Tekanan dalaman parti antara faktor Nurul Izzah letak jawatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved