Rafizi persoal siasatan kes anak dicucuk, dakwa mati dan diam begitu sahaja

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 3:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rafizi persoal siasatan kes anak dicucuk, dakwa mati dan diam begitu sahaja
Rafizi

SHAH ALAM - Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan perkembangan siasatan kes serangan terhadap anaknya pada 13 Ogos 2025 selepas setahun berlalu.

Rafizi mendakwa, kes tersebut diam dan mati begitu sahaja walaupun terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan nombor telefon digunakan untuk menghantar mesej ugutan.

Menurutnya, beliau ada dimaklumkan secara tidak rasmi oleh Menteri Dalam Negeri dalang yang disyaki terlibat tetapi ditolak ketika diminta menjawab secara terbuka di Parlimen.

"Serangan seperti ini mungkin akan dilupakan oleh pihak berkuasa dan mereka yang memegang amanah, tetapi ia tidak mungkin dilupakan oleh keluarga mangsa.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, seorang kanak-kanak diserang dan isteri diugut hanya kerana pendirian politik suaminya.

"Saya faham mesej yang ingin disampaikan melalui serangan itu. Ada kumpulan yang ingin mengugut isteri saya supaya beliau memaksa saya bersara dari politik kalau tidak mahu diancam," ujarnya menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, anak Rafizi diserang dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan di pusat membeli belah di Putrajaya sekitar jam 1.45 petang Rabu tahun lepas.

Rafizi berkata, kejadian berlaku ketika beliau, isteri dan anaknya mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat membeli belah berkenaan.

Menurutnya, serangan tersebut melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.

Tambah Rafizi, jika beliau tunduk kepada ugutan seperti itu ia seolah-olah bersubahat membenarkan kerosakan dan jenayah berlaku dengan sewenang-wenangnya dalam negara.

Jelasnya, kalau ia boleh berlaku kepada anak seorang bekas menteri dikhalayak ramai, kaedah menyerang dan mengugut seperti ini akan digunakan terhadap rakyat biasa.

" Saya berterima kasih kepada isteri dan keluarga saya yang faham.

"Kalau ada orang yang mencemuk saya kerana saya ambil jalan politik yang kini berbeza dari Pakatan Harapan, saya harap mereka yang juga sudah tentu seorang ibu dan bapa renungkan, kalaulah ini berlaku kepada anak anda.

"Semua ini berlaku di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada. Saya akan tunggu 13 Ogos setiap tahun, sehinggalah orang yang menyerang dan dalang di belakang mereka dibawa ke muka pengadilan.

"Kalaupun pihak berkuasa tidak berani mengambil tindakan, saya tahu bukan saja dalang, orang yang menyerang kanak-kanak ini perlu jawab di akhirat nanti," ujarnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved