
Selepas melalui pusingan yang kurang memberangsangkan di Jempol, Voge Racing Team kini tampil dengan misi jelas untuk bangkit pada Pusingan Malaysian Cub Prix (MCP) di Batu Kawan, Pulau Pinang, hujung minggu ini.
Menurut Azlan Shah, pasukan telah melakukan beberapa penambahbaikan penting terhadap jentera, khususnya selepas berdepan masalah teknikal yang menjejaskan prestasi pada pusingan sebelum ini.
“Di Jempol, kita memang berdepan masalah teknikal. Gearbox terlalu berat dan ia memberi kesan kepada prestasi jentera ketika perlumbaan,” jelas Azlan Shah.
Bagaimanapun, masalah tersebut kini sudah dikenal pasti dan pasukan mengambil langkah menukar kepada konfigurasi gearbox yang baharu bagi memberikan karakter tunggangan yang lebih sesuai dengan keperluan litar.
Dengan persiapan yang lebih rapi, Voge Racing Team berharap perubahan tersebut mampu memberikan peningkatan ketara kepada prestasi barisan pelumbanya dalam kategori CP150.
“Sekarang masalah itu sudah kita selesaikan dengan menggunakan gearbox lain. Harapnya pada pusingan kali ini, kita dapat keputusan yang lebih baik untuk semua pelumba,” tambah beliau.
Batu Kawan kini menjadi pentas untuk Voge Racing Team membuktikan bahawa mereka mampu bangkit dan kembali bersaing di kelompok hadapan.








The post VOGE RACING TEAM SEDIA TEBUS KEKECEWAAN DI BATU KAWAN appeared first on TW Media.





