Guan Huat Seng meterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities bagi IPO di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
11 Dec 2025 • 6:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Guan Huat Seng meterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities bagi IPO di Pasaran ACE
image is not available
liza11/12/2025 - 18:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Dis – Guan Huat Seng Holdings Berhad (GHS Holdings) memeterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities Holdings Berhad sebagai persediaan untuk tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

IPO GHS Holdings melibatkan penerbitan 120 juta saham baharu, bersamaan 25.34% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, serta tawaran jualan 21 juta saham sedia ada, bersamaan 4.44% daripada modal saham yang diperbesarkan.

 

Saham baharu ini akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, pengarah dan pekerja yang layak, pelabur terpilih, serta pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Daripada penerbitan awam, 23.8 juta saham baharu diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, manakala 14 juta saham baharu disediakan untuk pengarah, pekerja dan individu lain yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan.

 

Selain itu, 23 juta saham baharu diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, manakala 59.2 juta saham baharu diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera terpilih.

 

Tawaran jualan 21 juta saham sedia ada pula diperuntukkan kepada pelabur terpilih.

 

Pengarah Urusan GHS Holdings, Yeo Tien Ee berkata, perjanjian taja jamin ini menandakan satu langkah penting dalam persiapan penyenaraian syarikat di Pasaran ACE.

 

“IPO ini juga akan membolehkan syarikat menyokong pembinaan kompleks bersepadu baharu di Melaka, termasuk kemudahan penyimpanan tambahan, pemprosesan makanan, pembangunan produk, bilik pameran produk, pejabat pentadbiran, serta di Krubong Baharu yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan penyimpanan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

GHS Holdings merupakan syarikat pengedar dan peruncit produk makanan serta pengeluar produk perisa yang berpangkalan di Melaka dengan rekod prestasi lebih empat dekad melalui anak syarikatnya, Guan Huat Seng (Heng Kee) Sdn. Bhd. dan GHS Food Industries Sdn. Bhd.

 

Kumpulan ini mengedar dan menjual pelbagai jenis produk termasuk makanan laut tahan lama dan beku, produk perisa, makanan kering, snek serta produk runcit am.

 

Aktiviti perniagaan disokong oleh kemudahan pembuatan dalaman yang memegang pensijilan HACCP dan MeSTI.

 

Operasi GHS Holdings merangkumi seluruh rantaian daripada pembuatan produk perisa hingga perdagangan dan pengedaran, melayani pemborong, peruncit, pengendali perkhidmatan makanan, pengguna akhir, serta pengeluar makanan di pasaran domestik dan luar negara.

 

Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities, Ku Mun Fong berkata, pihaknya berbangga menyokong GHS Holdings dalam perjalanan IPO kerana syarikat mempunyai rekod prestasi kukuh, pasukan pengurusan berpengalaman dan rangkaian pengedaran yang luas.

 

Penyenaraian GHS Holdings di Pasaran ACE dijangka membuka lembaran baharu dalam pertumbuhan korporat syarikat, membolehkan Kumpulan meningkatkan kedudukan pasaran, merebut peluang baharu dalam industri pengedaran makanan dan minuman Malaysia, serta memberikan nilai mampan kepada para pemegang saham.

 

Perjanjian ini menandakan satu langkah penting bagi GHS Holdings dalam usaha mereka untuk disenaraikan dengan TA Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO ini. - DagangNews.com

Terkini standard