
Gulf Air Buka Tempahan Penerbangan Terus Bahrain-Kuala Lumpur Mulai 29 September
Syarikat penerbangan nasional Bahrain, Gulf Air, membuka tempahan bagi laluan penerbangan terus baharu antara Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain (BAH) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang dijadual memulakan operasi pada 29 September 2026, lapor Zawya.
Menurut laporan itu, pembukaan laluan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Gulf Air memperluaskan rangkaian antarabangsa syarikat, di samping memperkukuh hubungan udara antara Bahrain dan Malaysia.
Perkhidmatan baharu itu turut memberi kemudahan kepada penumpang untuk menikmati akses sepanjang tahun ke Kuala Lumpur yang merupakan antara hab utama pelancongan dan perniagaan di Asia Tenggara.
Sebagai sebahagian daripada pelancaran laluan tersebut, Gulf Air akan mengendalikan jadual penerbangan yang dipertingkatkan ke Kuala Lumpur menjelang Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober 2026.
Menurut syarikat itu, penambahan kapasiti penerbangan berkenaan bertujuan memberi lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada peminat sukan permotoran serta pelancong yang ingin menghadiri perlumbaan bertaraf dunia itu.
Katanya, selepas tamat tempoh penganjuran perlumbaan Formula Satu berkenaan, laluan Bahrain-Kuala Lumpur akan diteruskan sebagai perkhidmatan tetap mengikut jadual penerbangan berkala.
Ketua Pegawai Eksekutif Gulf Air, Martin Gauss berkata, syarikat itu berbangga dapat menghubungkan peminat Formula Satu dan pelancong ke Malaysia menerusi laluan baharu berkenaan.
“Sebagai penaja utama Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Malaysia, kami berbangga dapat menghubungkan peminat dan pengembara ke acara bertaraf dunia ini melalui perkhidmatan penerbangan terus baharu ke Kuala Lumpur.
“Menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi tetap dalam rangkaian kami akan terus mengukuhkan hubungan udara antara Bahrain, Malaysia dan destinasi lain di seluruh dunia,” ujarnya.





