
Malaysia Teliti Pengalaman Singapura Demi Jayakan Formula 1 Di Sepang
Malaysia akan meneliti pengalaman dan amalan terbaik Singapura dalam penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) sebagai persediaan menjayakan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan menerusi pertemuannya dengan Pengarah Eksekutif Grand Prix Singapura, Michael Roche bagi mendapatkan perkongsian pengalaman negara jiran itu dalam menganjurkan perlumbaan Formula Satu bertaraf dunia.
Menurut beliau, penganjuran perlumbaan berprestij itu dijangka memberi limpahan ekonomi yang besar kepada negara menerusi peningkatan sektor pelancongan, peluang pekerjaan, aktiviti perniagaan serta pengukuhan keyakinan pelabur.
Katanya, acara berkenaan turut dijangka menjadi pemangkin kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Insya-Allah, kita komited memastikan penganjuran ini bukan sahaja memenuhi piawaian antarabangsa, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab sukan permotoran serantau serta membawa manfaat yang meluas kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Oktober 2026.






