Guna baja subsidi hasilkan bom: Saifuddin Nasution mahu dakwaan disiasat

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 5:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Guna baja subsidi hasilkan bom: Saifuddin Nasution mahu dakwaan disiasat
Saifuddin Nasution

PASIR PUTEH - Dakwaan baja subsidi di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dari Malaysia digunakan untuk menghasilkan alat letupan buatan sendiri (IED) oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand perlu disiasat terlebih dahulu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, laporan media berhubung dakwaan itu tidak wajar dipandang ringan, kerana ia membabitkan aspek keselamatan dan hubungan dua hala Malaysia-Thailand.

Menurutnya, pihak berkuasa kedua-dua negara mempunyai saluran sedia ada untuk meneliti sebarang dakwaan berkaitan keselamatan di kawasan sempadan, termasuk penggunaan bahan dari Malaysia yang dipercayai digunakan dalam pembuatan bom.

"Kalau ada dakwaan seperti itu, ia perlu disiasat. Kita ada mekanisme untuk membincangkan perkara seperti ini dengan pihak Thailand," katanya pada sidang media, Khamis.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Tok Bali di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Sebelum ini, media melaporkan baja subsidi di bawah SBPKP yang dibekalkan anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dikesan digunakan sebagai bahan menghasilkan IED oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand.

Ia selepas pihak berkuasa Thailand merampas kira-kira 520 kilogram baja urea berkenaan dalam satu operasi di Mukim Koh Sathon, Tak Bai, selatan Thailand pada Jumaat lalu.

Saifuddin Nasution berkata, antara mekanisme yang boleh digunakan untuk membincangkan perkara itu ialah hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) menerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand, selain kerjasama polis dengan polis (P2P).

Katanya, mekanisme berkenaan membolehkan sebarang perkara yang menimbulkan kebimbangan antara kedua-dua negara dibawa ke meja perbincangan untuk tindakan lanjut.

"Kita tidak mahu melindungi apa-apa salah laku, tetapi dalam masa sama janganlah kita menambahkan bahang atau syak wasangka antara kedua-dua negara.

"Biarlah pasukan keselamatan Malaysia dan Thailand menyiasat melalui mekanisme yang telah tersedia," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved