Mekanik warga emas rugi RM249,350 terjerat pelaburan atas talian

LocalBusiness & Finance
15 Mar 2026 • 11:38 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang mekanik warga emas untuk menggandakan simpanan musnah selepas menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud. Foto kecil: Yahaya

KUANTAN - Hasrat seorang mekanik warga emas untuk menggandakan simpanan musnah selepas menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud sehingga mengakibatkan kerugian mencecah RM249,350.

Kejadian bermula apabila mangsa berusia 64 tahun dihubungi dua individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp pada 22 Jun tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Othman Yahaya berkata, individu tersebut telah menawarkan peluang pelaburan ‘Coin America’ dan saham yang kononnya menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

Menurutnya, mangsa telah diyakinkan untuk membuat beberapa transaksi deposit wang ke akaun bank yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pelaburan tersebut.

"Seterusnya mangsa telah membuat sebanyak enam transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank yang berbeza antara 2 September sehingga ingga 3 November 2025.

"Jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM249,350 yang melibatkan wang simpanan mangsa," katanya pada Ahad.

Beliau memberitahu, namun selepas semua transaksi dibuat, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan.

Jelasnya, mangsa kemudian cuba menghubungi individu berkenaan beberapa kali tetapi gagal sebelum menyedari dirinya telah ditipu.

"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan keuntungan luar biasa.

“Orang ramai dinasihatkan mendapatkan nasihat di balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan dan membuat semakan nombor akaun melalui portal rasmi semakmule.rmp.gov.my⁠.

"Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.