
KUALA LANGAT – Taktik sindiket menggunakan lori tipper sebagai ‘kenderaan pengumpul’ untuk menyedut dan menyeleweng diesel subsidi terbongkar dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di sini, semalam.
Serbuan pukul 5.15 petang itu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, berjaya merampas 8,050 liter diesel serta menahan dua lelaki tempatan berusia 30-an.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, siasatan mendapati sindiket dipercayai menggunakan lori tipper untuk membuat pengisian minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak berhampiran.
Katanya, minyak tersebut kemudiannya dibawa ke tapak pembinaan untuk disedut dan disimpan di dalam skid tank.
“Seterusnya, sindiket akan memindahkan minyak diesel ke dalam lori tangki sebelum dijual kepada pihak industri atau pembeli lain.
“Dua suspek yang ditahan di lokasi kejadian merupakan pemandu lori tipper dan pemandu lori tangki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi serbuan mendapati terdapat aktiviti pemindahan cecair disyaki minyak diesel daripada lori ke dalam skid tank.
Tambahnya, sitaan telah dibuat terhadap masing-masing sebuah lori tipper dan lori tangki, satu unit skid tank, tiga unit Intermediate Bulk Container (IBC).
“Turut dirampas adalah pam penyedut serta hos penyambung yang digunakan bagi tujuan penyelewengan cecair yang disyaki minyak diesel.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 8,050 liter minyak diesel telah berjaya dirampas dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah hampir RM 200,000,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sedang mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Guna lori tipper seleweng diesel appeared first on Kosmo Online.






