GuocoLand dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 18 Ogos 2026

Business & Finance
14 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GuocoLand dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 18 Ogos 2026 Image from: GuocoLand dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 18 Ogos 2026 johardy14/08/2026 - 09:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Ogos - GuocoLand (Malaysia) Berhad akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia Securities Bhd berkuat kuasa 18 Ogos ini, berikutan selesainya proses penswastaan oleh pemegang saham pengawalnya, GLL (Malaysia) Pte Ltd (GLLM).

 

Penyahsenaraian itu menyusuli pelaksanaan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik modal pada harga RM1.10 sesaham oleh GLLM, yang dicadangkan pada Februari lalu bagi menjadikan GuocoLand Malaysia sebuah syarikat persendirian.

 

GLLM yang sebelum ini memegang 65.03% kepentingan dalam GuocoLand Malaysia menawarkan untuk mengambil alih baki 34.97% kepentingan, bersamaan 244.95 juta saham, pada nilai RM269.45 juta.

 

Di bawah pelaksanaan itu, 244.95 juta saham yang dipegang pemegang saham minoriti akan dibatalkan, sekali gus mengurangkan jumlah saham terbitan GuocoLand Malaysia kepada 455.51 juta saham yang kesemuanya akan dimiliki GLLM.

 

Cadangan penswastaan itu dibuat berikutan kecairan dagangan saham GuocoLand Malaysia yang rendah serta manfaat terhad daripada mengekalkan status penyenaraiannya, selain memberi peluang kepada pemegang saham minoriti untuk menjual pegangan mereka pada harga premium.

 

Catat kerugian suku tahunan pertama dalam empat tahun

GuocoLand Malaysia baru-baru ini melaporkan kerugian bersih RM6.21 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026 (3QFY2026), kerugian suku tahunan pertamanya dalam tempoh empat tahun, meskipun hasil meningkat 57.17% kepada RM151.77 juta.

 

Prestasi lebih lemah itu terutamanya disebabkan penurunan nilai inventori RM7.2 juta bagi projek PJ City, rebat tambahan menerusi pakej jualan baharu serta sumbangan hasil lebih tinggi daripada segmen rumah mampu milik bermargin lebih rendah bagi projek Emerald 9 di Cheras.

 

Bagi tempoh sembilan bulan FY2026, keuntungan bersih susut 45.83% kepada RM6.56 juta daripada RM12.11 juta setahun sebelumnya, walaupun hasil meningkat 37.14% kepada RM425.31 juta daripada RM310.13 juta.

 

Saham GuocoLand Malaysia kali terakhir diniagakan pada RM1.10 pada 29 Julai, sebelum dagangan sahamnya digantung pada 30 Julai. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved