
BESUT: Seorang guru agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap tiga kanak-kanak lelaki sejak tahun lalu.
Muhammad Izzuddin Mohmad Asari, 31, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap kanak-kanak berusia 11 tahun, 13 tahun dan 14 tahun di sebuah sekolah di daerah ini.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah sebagai seorang guru didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di koperasi sebuah sekolah di daerah ini, sekitar pukul 4.30 petang pada April 2025.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama dengan menyebabkan kanak-kanak itu melihat video yang bersifat seksual di lokasi, masa dan tarikh sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) dan Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama kerana tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai guru.
Bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Izzuddin didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun di lokasi sama sekitar pukul 2.40 petang pada Mei 2026.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun di lokasi sama antara pukul 9.15 malam hingga 10.30 malam pada 12 Jun lalu.
Pertuduhan itu turut dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Mohd Jazlee.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin. Hakim turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain tidak dibenarkan mengganggu mana-mana mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 September ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN
The post Guru agama tidak mengaku amang seksual tiga murid appeared first on Utusan Malaysia.






