
PEMERGIAN guru, Cikgu Kartinie Ngatenan, dalam kemalangan di Kilometer 149.9 Jalan Kuantan-Seremban, Jumaat lalu, meruntun hati ramai termasuk bekas pelajarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Kartinie yang juga Guru Kanan Bahasa di SMKA Sheikh Hj Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Turut terkorban ialah anak lelakinya, Muhammad Akif Mohd Azmi, 6, manakala suaminya, Mohd Azmi Mohajir, 47, cedera pada kepala.

Difahamkan, kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki tiga sekeluarga itu jatuh ke dalam gaung dan terdahulu melanggar objek dipercayai kayu menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di sebelah kanan jalan.
Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi, kemalangan berlaku ketika MPV jenis Toyota Estima dipandu Mohd Azmi dipercayai dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke arah Felda Keratong, Rompin, Pahang.
"Akibat kejadian, dua mangsa mengalami cedera parah di kepada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Berita mengenai kemalangan itu turut mendapat perhatian di media sosial. Rata-rata yang mengenali Allahyarham menyifatkan guru itu pendidik yang berdedikasi, penyayang dan banyak berjasa.
Artikel berkaitan:
- Tragedi rombongan guru: Ustazah Dahlia mangsa ke-4 meninggal dunia, pergi dalam keadaan jihad mencari ilmu
- Tragedi rombongan sekolah: Cikgu sempat tanya anak, video call suami sebelum 'pergi' selamanya ketika bertugas
- 'Dakapan terakhir kuat dan erat...' Momen terakhir wanita kiriman dari syurga, catatan suami sebelum Cikgu Jamaliah pergi selamanya undang sebak
- Suami reda pemergian Cikgu Istiqomah. 'Satukanlah aku dengan bidadari syurgaku...'

Seorang bekas pelajarnya, Shahriman Ramly turut menitipkan ucapan takziah selain mengenang kembali sosok guru yang pernah mendidik ketika di bangku sekolah.
"Al-Fatihah buat guru kelasku Cikgu Kartinie Ngatenan. Salam takziah diucapkan buat seluruh ahli keluarga arwah Cikgu Kartinie Ngatenan dan anakanda tercinta yang telah selamat disemadikan sebentar tadi.
"Cikgu Kartinie merupakan guru kelas kami Tingkatan Satu Ikram pada tahun 2010.
"Seorang ibu dan pendidik yang sangat berdedikasi, penuh kasih sayang, dan banyak menabur jasa serta membentuk diri kami waktu zaman persekolahan dahulu.
"Pemergian cikgu dan anakanda pastinya satu kehilangan besar. Namun, segala ilmu, nasihat dan kebaikan cikgu akan sentiasa mekar dalam ingatan serta menjadi saham akhirat.
"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh arwah Cikgu Kartinie dan anakanda," titipnya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut mengucapkan takziah buat keluarga pendidik itu. Beliau juga memaklumkan pihak kementerian akan memastikan bantuan terbaik disalurkan kepada keluarga terbabit.
"Hari ini kami menerima perkhabaran duka pemergian Allahyarhamah Kartinie Ngatenan, guru di SMKA Sheikh Hj Mohd Said dan anaknya, Allahyarham Muhammad Akif Mohd Azmi yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Pahang.
"Salam takziah diucapkan kepada seluruh keluarga. Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan seluruh keluarga diberi kesabaran serta ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini," kongsinya.
Sumber: Sinar Harian, Facebook,





