
ROMPIN: Seorang wanita dan anak lelakinya berusia enam tahun maut selepas kereta dinaiki tiga beranak terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 149.9, Jalan Kuantan-Seremban di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Kartinie Ngatenan, 46, seorang guru dan anaknya, Muhammad Akif Mohd Azmi, 6, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kemalangan berlaku ketika kereta Toyota Estima dipandu suami mangsa, Mohd. Azmi Mohajir, 47, dalam perjalanan dari arah Seremban, Negeri Sembilan menuju Felda Keratong di sini.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi, kenderaan berkenaan dipercayai terlanggar sebatang kayu yang berada di atas permukaan jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu terjatuh ke dalam gaung.
“Akibat kemalangan itu, pemandu mengalami kecederaan di kepala dan menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Muadzam Shah. Dua penumpang iaitu isterinya dan anak lelaki mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sharif Shai berkata, pemeriksaan awal mendapati jalan di lokasi kejadian merupakan jalan lurus dua lorong dua hala, manakala permukaannya rata, kering dan berturap.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN
The post Guru, anak maut kereta terbabas ke gaung appeared first on Utusan Malaysia.






