
ROMPIN - Seorang guru wanita dan anak lelakinya berusia enam tahun maut, manakala suaminya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 149.9, Jalan Kuantan-Seremban, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Kartinie Ngatenan, 46, dari Taman Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan, bersama anaknya, Muhammad Akif Mohd Azmi, 6, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata suami mangsa yang turut memandu kenderaan berkenaan, Mohd Azmi Mohajir, 47, mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Menurutnya, siasatan awal mendapati MPV jenis Toyota Estima yang dipandu Azmi, seorang juruteknik kilang itu dipercayai dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Felda Keratong bersama isteri dan anak-anaknya.
“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan melanggar sebatang pokok di tepi jalan sebelum hilang kawalan, terbabas dan terjunam ke dalam gaung di sebelah kanan jalan.
“Dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Getaran, 22 Ogos 2026






