
IPOH: Seorang anggota polis berpangkat konstabel ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan sejumlah dadah di lokap Balai Polis Lumut, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, anggota berusia lingkungan 30-an itu ditahan susulan pemeriksaan yang dijalankan di lokap tersebut kira-kira pukul 8.30 pagi.
Katanya, pemeriksaan itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki yang merupakan orang kena tuduh (OKT) dan rampasan dadah disyaki methamphetamine, heroin dan kanabis.
“Ketika pemeriksaan, kita menjumpai 16 bungkus tiub plastik mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 109.54 gram, 16 bungkus tiub plastik berisi bahan disyaki heroin (110.37 gram) dan 23 bungkus tiub plastik mengandungi daun-daun kering disyaki kanabis (142.31) gram.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah itu dianggarkan sebanyak RM18,534,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati dua OKT berusia lingkungan 40 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine manakala anggota polis berkenaan pula negatif.
Katanya, ketiga-tiga mereka kini ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam hingga 18 Ogos depan bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana dadah itu boleh berada di dalam lokap dan penglibatan setiap individu yang ditahan,” katanya. –UTUSAN
The post Jumpa dadah dalam lokap, anggota polis antara tiga ditahan appeared first on Utusan Malaysia.





