Guru juga perlu dibela, dilindungi

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Guru juga perlu dibela, dilindungi

KONGRES Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyokong Polisi Perlindungan Murid yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid sentiasa terpelihara.

Bagaimanapun, pelaksanaan polisi berkenaan, khususnya berkaitan Borang Aku Janji di bawah Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 4 Tahun 2026, perlu diperjelas dan ditambah baik supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan guru serta pihak pengurusan sekolah.

Sehubungan itu, Kongres mengemukakan memorandum kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek pada 21 Ogos lalu, bagi menyampaikan pandangan dan cadangan berkaitan pelaksanaan polisi tersebut.

Guru tidak pernah menolak tanggungjawab memastikan murid berada dalam persekitaran yang selamat, kondusif dan bebas daripada penderaan, gangguan, eksploitasi, buli serta pengabaian.

Namun, usaha melindungi murid bukan tanggungjawab guru semata-mata. Ia memerlukan kerjasama pentadbir sekolah, kakitangan sokongan, ibu bapa, pihak luar yang berurusan dengan murid serta seluruh komuniti pendidikan.

Pada masa sama, guru turut berdepan risiko perundangan, tatatertib, liabiliti sivil, siasatan dan pertuduhan dalam keadaan tertentu.

Justeru, pendidik yang menjalankan tugas secara profesional, munasabah dan mengikut prosedur ditetapkan perlu diberikan perlindungan sewajarnya.

Kongres turut melihat keperluan KPM memperincikan penggunaan perkataan ‘wajib’ dalam SPI Bilangan 4 Tahun 2026.

Dokumen rasmi berkenaan menggunakan istilah tersebut, sedangkan dalam sesi libat urus pada 14 Ogos 2026, dijelaskan tanda tangan Aku Janji tidak membawa implikasi tindakan tatatertib, sebaliknya lebih kepada tanda solidariti dan kebersamaan.

Perbezaan antara kandungan dokumen dengan penerangan dalam sesi libat urus tidak wajar dibiarkan kerana boleh menghasilkan tafsiran berbeza di sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Penjelasan secara lisan sahaja tidak memadai. KPM perlu mengeluarkan penjelasan rasmi secara bertulis, jelas dan seragam mengenai kedudukan Borang Aku Janji, termasuk implikasi sekiranya seseorang guru tidak menandatanganinya.

Sehubungan itu, Kongres menyeru KPM menyemak semula SPI Bilangan 4 Tahun 2026 bagi mengelakkan percanggahan serta kekeliruan dalam pelaksanaan.

Pada masa sama, status dan implikasi tandatangan Borang Aku Janji perlu diperincikan, manakala penjelasan tersebut hendaklah disampaikan secara seragam kepada JPN, PPD dan semua institusi pendidikan.

Mekanisme perlindungan terhadap guru yang melaksanakan tugas secara profesional, berasaskan prosedur serta demi keselamatan dan kebajikan murid juga perlu diperkukuh.

Polisi Perlindungan Murid merupakan dasar yang baik dan wajar diperkasakan. Namun, keberkesanannya bergantung pada arahan yang jelas, dokumen yang konsisten, komunikasi seragam serta pembahagian peranan yang teratur.

Kongres tidak mahu guru berada dalam keadaan dilema atau terpaksa membuat tafsiran sendiri terhadap dasar yang boleh memberi implikasi kepada tugas profesional mereka.

Tuntutan supaya perkara ini diperjelas bukan usaha mengelakkan tanggungjawab, sebaliknya bagi memastikan guru dapat melaksanakan amanah dengan yakin dan terlindung.

Perlindungan murid dan guru tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang bertentangan. Kedua-duanya perlu bergerak seiring bagi membentuk ekosistem pendidikan yang selamat, profesional dan berintegriti.

Kongres menghargai kesediaan KPM menerima pandangan warga pendidik dan berharap isu ini dapat diselesaikan melalui dialog, semakan dasar serta penyelarasan pelaksanaan.

Perlindungan murid ialah amanah bersama. Kejelasan dasar menjadi kunci pelaksanaan berkesan, manakala perlindungan guru penting bagi memastikan mereka terus yakin melaksanakan tanggungjawab. – UTUSAN

MOHAMAD ZAPAWI MAMAT
Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES)

The post Guru juga perlu dibela, dilindungi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved