
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek jelaskan Polisi Perlindungan Murid Sekolah bukan bebankan guru, sebaliknya perkukuh ekosistem keselamatan murid.
KUALA LUMPUR: Polisi Perlindungan Murid Sekolah bukan bertujuan meletakkan keseluruhan tanggungjawab menjaga keselamatan murid di bahu guru, sebaliknya mewujudkan kerangka lebih jelas mengenai peranan setiap pihak dalam menangani keselamatan dan kesejahteraan murid.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata polisi tersebut diwujudkan untuk memberikan garis panduan yang lebih teratur mengenai tindakan yang perlu diambil oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam mendepani isu keselamatan dan kesejahteraan murid.
“Polisi ini mewujudkan kerangka yang lebih jelas tentang siapa perlu melakukan apa apabila timbul kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan seorang murid… Apa yang kita perlukan daripada guru ialah jangan diam apabila ada kebimbangan terhadap keselamatan seorang anak.
“Apabila menerima aduan atau mempunyai syak munasabah, laporkan segera kepada pentadbir.
Guru tidak perlu menunggu sehingga mempunyai bukti yang lengkap untuk melapor,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Memahami kegusaran para pendidik, Fadhlina berkata kementerian akan mempergiat sesi libat urus serta penerangan bagi memperjelas fungsi polisi berkenaan agar tiada lagi kekeliruan.
Katanya, walaupun KPM telah mengadakan libat urus dengan pemegang taruh termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penerangan perlu diteruskan sekiranya masih terdapat guru yang bimbang atau kurang memahami peranan mereka.
Beliau berkata tanggungjawab melindungi murid melibatkan ekosistem yang luas merangkumi Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), serta kerjasama agensi luar seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Fadhlina berkata selepas laporan dibuat, kes perlu diselaraskan dan tindakan ditentukan berdasarkan jenis serta tahap kes, termasuk dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan apabila diperlukan.
Katanya, prosedur itu bertujuan memberikan kejelasan kepada guru mengenai tindakan yang perlu diambil, selain memastikan murid tidak mengalami trauma berulang akibat pengendalian kes yang tidak sewajarnya.
“Saya faham, satu dokumen tidak akan menjawab semua persoalan.
Sebab itu penerangan dan libat urus mesti diteruskan sehingga guru benar-benar memahami peranan mereka, tahu batas tanggungjawab mereka dan yakin tentang tindakan yang perlu diambil apabila berhadapan sesuatu kes,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina turut memberi jaminan bahawa KPM tidak akan membiarkan guru bersendirian dalam melindungi murid termasuk menyediakan bantuan guaman mengikut keperluan dan kesesuaian kes.
Beliau berkata polisi itu bukan untuk mencari pihak yang boleh dipersalahkan apabila berlaku sesuatu kejadian, apatah lagi menjadikan guru sebagai “kambing hitam.”






