Polisi Perlindungan Murid bukan jadikan guru ‘kambing hitam’

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 6:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polisi Perlindungan Murid bukan jadikan guru ‘kambing hitam’

PETALING JAYA: Guru tidak akan dijadikan ‘kambing hitam’ sekiranya berlaku sesuatu kejadian melibatkan keselamatan dan kesejahteraan murid menerusi pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, polisi berkenaan bukan bertujuan mencari pihak untuk dipersalahkan, sebaliknya memastikan wujud sistem perlindungan yang jelas kepada murid dan guru.

Katanya, tanggungjawab menjaga keselamatan murid juga tidak diletakkan sepenuhnya di bahu guru kerana ia melibatkan peranan pelbagai pihak dalam ekosistem perlindungan murid.

“Polisi Perlindungan Murid Sekolah bukan untuk meletakkan seluruh beban menjaga keselamatan murid di bahu guru. Sebaliknya, polisi ini mewujudkan kerangka yang lebih jelas tentang siapa perlu melakukan apa apabila timbul kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan seorang murid.

“Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mempunyai tanggungjawabnya. Kepimpinan sekolah mempunyai tanggungjawabnya. Guru dan kakitangan sebagai barisan hadapan mempunyai peranan mereka. 

“Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ibu bapa dan pihak berkaitan juga menjadi sebahagian daripada ekosistem perlindungan murid,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fadhlina berkata, guru yang menerima aduan atau mempunyai syak munasabah berkaitan keselamatan murid perlu segera memaklumkan perkara itu kepada pihak pentadbir sekolah.

“Apa yang kita perlukan daripada guru ialah jangan diam apabila ada kebimbangan terhadap keselamatan seorang anak.

“Apabila menerima aduan atau mempunyai syak munasabah, laporkan segera kepada pentadbir. Guru tidak perlu menunggu sehingga mempunyai bukti yang lengkap untuk melapor,” katanya.

Menurut beliau, selepas laporan dibuat, kes berkenaan perlu diselaraskan dan tindakan ditentukan berdasarkan jenis serta tahap kes sebelum dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan sekiranya perlu.

Katanya, tatacara itu bertujuan memberikan kejelasan kepada guru mengenai tindakan yang perlu dilakukan selain mengelakkan murid melalui trauma berulang akibat pengendalian kes yang tidak sewajarnya.

“Sebab itu saya telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia untuk meneruskan sesi libat urus dan penerangan supaya setiap persoalan guru dapat dijawab dengan jelas.

“Tetapi bagi saya, kalau selepas semua itu masih ada guru yang belum jelas atau masih bimbang, maknanya kerja penerangan kita masih belum selesai,” katanya.

Pada masa sama, katanya, bantuan guaman turut disediakan kepada guru yang memerlukan berdasarkan kesesuaian dan keperluan sesuatu kes.

“Kita tidak mahu guru dibiarkan bersendirian ketika melindungi murid dan kita juga tidak akan membiarkan guru-guru kita menghadapi ujian bersendirian.

“Kita mahu anak-anak selamat. Kita juga mahu guru jelas, yakin dan tahu bahawa ada sistem yang berdiri bersama mereka. Melindungi anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Guru tidak harus memikulnya sendirian,” katanya. – UTUSAN

The post Polisi Perlindungan Murid bukan jadikan guru ‘kambing hitam’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved