TAWAU - Seorang guru pelatih wanita yang dalam perjalanan pulang dari sekolahnya dilaporkan maut dalam kemalangan di Jalan Bandar Sri Indah, di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Amierah Aqeelah Arbin, 25, yang juga penuntut akhir di sebuah universiti disahkan meninggal dunia di lokasi.
Difahamkan, Amierah Aqeelah sedang menjalani latihan praktikum di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung sebagai guru pelatih.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.26 tengah hari.
Katanya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 17 kilometer dari BBP Tawau.
"Menurut laporan, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang telah terbabas sendiri ke tepi jalan.
"Terdapat seorang mangsa dikeluarkan oleh pasukan perubatan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian. Mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi," katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.



