
Guru Perlu Dilindungi, Asyraf Wajdi Cadang Akta Perlindungan Guru Digubal
Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan penggubalan Akta Perlindungan Guru bagi melindungi warga pendidik yang menjalankan tugas secara profesional, berlandaskan prosedur dan dengan niat baik ketika menguruskan disiplin serta keselamatan pelajar.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keperluan mewujudkan akta tersebut semakin mendesak memandangkan guru kini semakin terdedah kepada tindakan undang-undang, ancaman serta tekanan ketika melaksanakan tanggungjawab mereka.
Menurut beliau, perlindungan undang-undang yang sewajarnya penting supaya guru dapat menjalankan amanah tanpa rasa bimbang dikenakan tindakan hanya kerana melaksanakan tugas mengikut bidang kuasa mereka.
"Guru sering perlu membuat keputusan serta-merta dalam situasi melibatkan disiplin, keselamatan atau kecemasan pelajar.
"Sekiranya tindakan itu dibuat mengikut undang-undang dan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), mereka tidak seharusnya mudah dikenakan tindakan sivil atau jenayah semata-mata kerana ketidakpuasan hati pihak tertentu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, antara tujuan utama cadangan akta itu adalah melindungi guru yang bertindak mengikut prosedur selain mengurangkan budaya litigasi dalam menyelesaikan pertikaian berkaitan sekolah.
Beliau berkata, mekanisme seperti siasatan dalaman atau proses mediasi boleh diwujudkan sebagai langkah awal sebelum sesuatu kes dibawa ke mahkamah.
Menurutnya, akta berkenaan juga boleh menyediakan sokongan undang-undang kepada guru termasuk bantuan guaman atau indemniti kerajaan bagi mereka yang bertindak dalam ruang lingkup tugas rasmi.
"Ramai guru berdepan tindakan undang-undang menggunakan kos sendiri. Perlindungan yang bersesuaian akan memberikan keyakinan kepada guru untuk melaksanakan tanggungjawab tanpa tekanan berlebihan.
"Kebimbangan berdepan saman atau tindakan undang-undang boleh menyebabkan sebahagian guru menjadi terlalu berhati-hati sehingga mengelak mengambil tindakan disiplin yang wajar terhadap pelajar," ujarnya.
Beliau berkata, keadaan itu berisiko menjejaskan pengurusan sekolah serta usaha membentuk sahsiah dan disiplin murid jika guru tidak lagi berani mengambil tindakan sewajarnya.
Tambahnya, perlindungan undang-undang yang munasabah bukan sahaja mampu meningkatkan imej profesion perguruan, malah membantu menarik serta mengekalkan bakat terbaik dalam bidang pendidikan.
"Profesion guru perlu terus dihormati dan diyakini kerana mereka memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan negara," katanya.




