SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil tindakan secara menyeluruh bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat susulan kejadian kejadian tikam yang mencederakan seorang pelajar Tingkatan Tiga dekat Banting pada Isnin.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu termasuk memperkukuhkan usaha pencegahan dan intervensi awal terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar perempuan kena tikam di sekolah
Kes tikam pelajar: Mangsa diberi rawatan, suspek pula ditahan polis-JPN
'Anak saya ditikam 14 hingga 16 kali' - Bapa pelajar ditikam di sekolah
"Sedih membaca berita terbaru kes tikam di sebuah sekolah di Banting.
"Kerajaan perlu lakukan tindakan segera dan secara holistik menangani isu keselamatan di sekolah dan peningkatan kes-kes melibatkan kesihatan mental," katanya menerusi laman Facebook.
Terdahulu, mangsa yang berusia 15 tahun dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas dipercayai ditikam antara 14 hingga 16 kali pada bahagian badan dan muka dalam kejadian sekitar 9 pagi tadi.
Kejadian yang tular di media sosial itu turut memaparkan sekumpulan pelajar bertempiaran lari selepas seorang individu dipercayai pelajar sekolah itu dilihat memegang sebilah pisau di kawasan sekolah berkenaan.
Seorang remaja perempuan telah ditahan polis dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.






