Guru wanita skandal dengan pelajar diasingkan sementara siasatan

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 2:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Guru wanita skandal dengan pelajar diasingkan sementara siasatan

KUALA LUMPUR: Guru yang didakwa mempunyai hubungan terlarang atau melakukan gangguan seksual terhadap murid akan diasingkan daripada sekolah.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata mereka akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), sementara menunggu siasatan selesai.

Tindakan itu adalah prosedur awal Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan guru terbabit tidak lagi berurusan dengan murid sepanjang siasatan dijalankan.

“Kalau ada dakwaan berkaitan gangguan seksual dengan anak murid, memang guru itu kita akan siasat dan untuk tindakan awal, kita akan asingkan dengan murid.

“Maknanya guru itu tidak akan ditugaskan di sekolah lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan perbuatan seorang guru wanita yang didakwa menjalin hubungan terlarang dengan pelajarnya terbongkar selepas video membabitkan mereka diketahui keluarga remaja berusia 17 tahun itu dan pihak sekolah.

Difahamkan hubungan terjalin sejak tahun lalu dengan mereka beberapa kali didakwa mendaftar masuk hotel di Seri Kembangan selain bertemu di kediaman guru berusia 30-an terbabit.

Menurut sumber, pelajar lelaki berkenaan mendakwa guru itu pada mulanya mengajaknya keluar untuk berjalan-jalan dan makan sebelum membawanya ke sebuah hotel di Seri Kembangan.

Guru terbabit didakwa melakukan perbuatan seksual selain merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata sekiranya laporan polis dibuat dan kes berkenaan sampai ke peringkat sebutan mahkamah, guru terbabit boleh dikenakan tahan kerja dengan menerima separuh daripada gaji.

“Tindakan awal ialah mengasingkannya dan ditempatkan di PPD serta JPN.

“(Tetapi) Misalnya ada dakwaan di peringkat polis, jadi kes ini akan mengikut prosedur jenayah.

“Kemudian jika ada sehingga ke sebutan kes, kita akan tahan kerja. Maknanya tahan kerja ini, guru berkenaan hanya akan menerima separuh daripada gajinya.

“Bila hukuman sudah dijatuhkan dan jika didapati bersalah, guru ini akan ikutlah hukuman yang diaturkan mahkamah.

“Di peringkat kita pula, tindakan tatatertib akan diambil sama ada buang atau sebagainya.

“Ini adalah prosedur biasa yang kita akan ambil bila ada kes seumpama ini,” katanya.

The post Guru wanita skandal dengan pelajar diasingkan sementara siasatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved