GXO Logistics sewa gudang 700,000 kaki persegi daripada Equalbase di JS-SEZ

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2025 • 5:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GXO Logistics sewa gudang 700,000 kaki persegi daripada Equalbase di JS-SEZ

image is not available

22/09/2025 - 17:02

Gambaran artis Gudang 2 di Zon Komersial Bebas 103°, Sunway City Iskandar Puteri, Johor. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - Penyedia perkhidmatan logistik, GXO Logistics Inc memeterai perjanjian dengan Equalbase bagi penyewaan jangka panjang ke atas kemudahan gudang bertaraf dunia seluas 720,000 kaki persegi di Zon Perdagangan Bebas 103° Fasa I, Johor Bahru.

Gudang itu akan berfungsi sebagai hab pusat untuk menyokong pelanggan GXO di seluruh rantau, sekali gus meningkatkan kecekapan dan memperkukuh rantaian bekalan mereka.

Ruang itu dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa dari segi kesihatan, keselamatan, pematuhan, dan kelestarian. Merentasi kawasan seluas 55 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion, projek itu menekankan komitmen jangka panjang terhadap pertumbuhan Johor serta peranannya sebagai peneraju logistik serantau.

Terletak secara strategik dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), gudang itu adalah selari dengan agenda nasional Malaysia untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, menyokong integrasi ekonomi serantau dan merangsang pertumbuhan ekonomi Johor.

Kemudahan itu juga memudahkan perdagangan rentas sempadan dengan Singapura melalui proses kastam yang dipermudah serta manfaat logistik yang cekap dari segi cukai.

image is not available
Kemajuan pembinaan Gudang 2 di Zon Perdagangan Bebas 103°, Sunway City Iskandar Puteri, Johor.

Presiden Amerika dan sia Pasifik GXO, Jorge Guanter berkata, tapak moden baharu itu mencerminkan pengembangan perniagaan mereka di rantau ini dan menambah lagi keupayaan global kumpulan dalam JS-SEZ.

“Di samping keupayaan logistik berteknologi tinggi serta piawaian kelestarian yang diiktiraf, kemudahan itu membolehkan pihaknya menawarkan manfaat Zon Perdagangan Bebas kepada pelanggan untuk mengimport, menyimpan dan mengeksport barangan tanpa dikenakan bayaran kastam.

"Kemudahan baharu ini turut memberikan fleksibiliti dan nilai yang diperlukan serta memudahkan pengurusan rantaian bekalan global pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan kemasukan GXO, Gudang 1 dan 2 kini di Fasa 1 kini telah disewa sepenuhnya. Pembangunan Fasa 2 dan 3 sedang diteruskan, yang bakal menampilkan kemudahan logistik bertingkat moden memenuhi permintaan serantau yang semakin meningkat bagi pengedaran yang cekap serta logistik jarak terakhir di Asia Tenggara.

Projek itu juga dijangka menjana peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Johor dalam bidang operasi, pengurusan rantaian bekalan, keselamatan & pematuhan, serta perkhidmatan logistik hijau. Ia dijangka mewujudkan ribuan pekerjaan baharu, sekaligus menyokong objektif nasional Malaysia dalam penciptaan pekerjaan dan pembangunan modal insan, di samping menyumbang kepada sasaran pertumbuhan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Equalbase, Nicholas Bischoff berkata, pihaknya gembira dengan kehadiran GXO ke Equalbase Sunway 103°.

“Ini bukan sekadar gudang ia adalah hab gred A yang dibina untuk kecemerlangan operasi dan pertumbuhan masa depan. Kerjasama dengan GXO, peneraju dalam inovasi dan kelestarian, mencerminkan komitmen bersama terhadap infrastruktur logistik generasi baharu," katanya.

Equalbase Sunway 103° ialah Zon Perdagangan Bebas pertama yang sedang pesat muncul sebagai antara hab logistik terkemuka di rantau ini, dimiliki bersama oleh Equalbase dengan kerjasama Sunway Group, salah satu konglomerat terkemuka Asia Tenggara.- DagangNews.com

standard