amree12/11/2026 - 12:10 LOJI petrokimia PETRONAS di Kerteh, Terengganu - Foto kredit PETRONAS Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Perancangan bagi membangunkan hab pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di Kerteh, Terengganu akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan mengambil kira potensi pengeluaran gas di lapangan Lawit yang dijangka berterusan melepasi 2035.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penilaian awal PETRONAS mendapati lapangan berkenaan yang terletak di luar pesisir perairan Terengganu berpotensi untuk dijadikan sebagai tapak strategik kerja penyimpanan gas karbon dioksida (CO2).
Bagaimanapun ujarnya, memandangkan lapangan itu masih mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan gas sehingga selepas 2035, pembangunan infrastruktur hab CCS di Kerteh termasuk penetapan kapasiti penyimpanan karbon bergantung kepada kesediaan teknikal dan komersial.
"Bagi fasa awal pembangunan hab CCS di Malaysia, tumpuan kerajaan akan diberikan kepada hab di Kuantan, Pahang, manakala industri di Terengganu berpotensi menyertai rantaian nilai industri itu dan meraih manfaat daripadanya," jelas beliau di Dewan Rakyat pada Khamis.
Akmal Nasrullah berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai perkembangan pelaksanaan CCUS, kapasiti penyimpanan karbon, kemajuan infrastruktur serta perancangan menjadikan Kerteh sebagai hab CCUS negara.
Setakat September 2026, Agensi Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) Malaysia sudah mengeluarkan dua permit kepada syarikat pemohon di bawah PETRONAS bagi menilai kesesuaian tapak penyimpanan CO2, khususnya kawasan geologi di luar pesisir Pantai Timur semenanjung.

Dalam pada itu, kerajaan kata beliau, sedang melaksanakan projek rintis pemerangkapan CO2 dalam industri besi dan keluli di Kemaman, Terengganu bagi mengenal pasti kos asas serta menilai potensi penggunaan teknologi CCUS sebagai langkah mengurangkan pelepasan karbon industri.
"Projek rintis berkenaan juga diharap akan menjadi pemangkin kepada penglibatan yang lebih meluas industri berat dalam usaha penyahkarbonan, sekali gus dapat menyokong peralihan negara ini kepada aktiviti ekonomi rendah karbon," tambah Akmal Nasrullah.
Di samping itu, beliau menjelaskan, Kementerian Ekonomi dijangka melancarkan 'Malaysia CCUS Roadmap 2050: Towards Green Economy' pada hujung November 2026 bagi menggariskan hala tuju pembangunan industri CCUS negara secara berfasa sehingga menjelang 2050.
Kementerian itu turut menjalankan kajian untuk mengenal pasti kluster pelepasan CO2 serta model perniagaan yang sesuai bagi menyokong pelaksanaan CCUS yang berdaya saing, termasuk kajian khusus mengenai peluang pembangunan industri itu di wilayah Pantai Timur.
Kajian berkenaan dijangka selesai pada suku keempat 2027 dan akan menilai potensi pembangunan kluster industri CCUS serta manfaat sosioekonomi sepanjang rantaian nilainya, termasuk limpahan ekonomi kepada Terengganu. - DagangNews.com



