Hadi sedia kemuka bukti tawaran bantuan AS jika dibawa ke mahkamah

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 2:53 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan beliau telah memberikan keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan menerima tawaran bantuan daripada Amerika Syarikat (AS) bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.

Image from: Hadi sedia kemuka bukti tawaran bantuan AS jika dibawa ke mahkamah

Memetik laporan Kosmo, Ahli Parlimen Marang itu berkata, sesi rakaman keterangan berkenaan berlangsung di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, beberapa hari lalu.

Menurutnya, proses memberikan keterangan kepada pegawai PDRM mengambil masa kurang daripada sejam sebelum perkara tersebut diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Tak sampai sejam (tempoh masa memberi keterangan kepada pegawai PDRM). Selanjutnya, saya serah kepada Peguam Negara.
“Sekiranya di bawa ke mahkamah (untuk pendakwaan), kita akan bawa bukti (dakwaan tawaran AS),” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila di sini, hari ini.

Pada 5 September lalu, ketika menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-72, Abdul Hadi mendakwa terdapat beberapa pemimpin parti itu yang dijemput menghadiri pertemuan dengan Kedutaan AS pada 2014.

Beliau mendakwa, dalam pertemuan berkenaan, pemimpin terbabit telah ditawarkan bantuan bagi menjatuhkan kerajaan ketika itu.

Bagaimanapun, Kedutaan AS dengan segera menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak pernah berusaha menentukan kepimpinan politik Malaysia.

Susulan kenyataan berkenaan, PDRM menerima 12 laporan dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel lain: AS campur tangan kepemimpinan politik Malaysia? Abdul Hadi wajib disiasat segera! – Aiman Athirah

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi turut menyuarakan kebimbangan mengenai ancaman serangan kumpulan Houthi dari Yemen terhadap Mekah.

Beliau mendakwa kemungkinan ancaman tersebut didalangi pihak Barat sebagai usaha memecahbelahkan kesatuan umat Islam.

Menurutnya, pendekatan seumpama itu pernah berlaku ketika pihak Arab dihasut untuk memerangi kerajaan Uthmaniyah yang ketika itu menjadi tonggak sistem khalifah Islam ketika Perang Dunia Pertama.

Sumber: Kosmo (Mohd Azli Adlan)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved