IPOH – Kerajaan digesa mempertimbangkan langkah mengehadkan jualan serta menaikkan harga minuman keras bagi mengurangkan kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang semakin membimbangkan.
Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia, R Sharvin berkata, sudah tiba masanya tindakan lebih tegas diambil berikutan banyak nyawa terkorban akibat kecuaian pemandu mabuk dan individu di bawah pengaruh dadah.
Menurutnya, insiden terbaharu yang tular hanyalah sebahagian daripada rentetan tragedi yang berulang melibatkan kehilangan nyawa serta memberi kesan besar kepada keluarga mangsa.
"Realitinya, terlalu banyak nyawa telah terkorban. Setiap tragedi bukan sahaja meragut satu nyawa tetapi turut memusnahkan kehidupan sebuah keluarga.
"Keadaan ini juga menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sharvin berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah mengehadkan jumlah premis yang menjual minuman beralkohol.
"Antara langkah yang perlu dipertimbangkan ialah mengehadkan jumlah kedai yang menjual minuman beralkohol serta mengawal penjualannya dengan lebih ketat.
"Selain itu, peningkatan harga minuman alkohol juga boleh menjadi salah satu mekanisme untuk mengurangkan akses mudah dan pembelian berlebihan dalam kalangan pengguna," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan keperluan untuk memperketatkan undang-undang terhadap pemandu mabuk, termasuk mengenakan hukuman lebih berat terutama jika melibatkan kehilangan nyawa.
Tambah beliau, isu keselamatan nyawa rakyat tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak bagi memastikan tragedi seumpama itu tidak terus berulang.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri berkata, Malaysia disaran memperkenalkan hukuman lebih berat dan tegas terhadap pemandu mabuk bagi memberi pengajaran serta mengurangkan kes kemalangan maut yang semakin membimbangkan.
Uajar beliau, undang-undang sedia ada di negara ini dilihat masih lemah berbanding negara lain seperti Taiwan yang mengenakan hukuman lebih keras terhadap pesalah.
Menurutnya, di Taiwan, pemandu mabuk yang menyebabkan kematian boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati, manakala di Malaysia hanya melibatkan hukuman penjara dan denda.
"Hukuman yang ada ketika ini masih terlalu ringan, malah pesalah juga boleh membuat rayuan untuk meringankan hukuman, sedangkan perbuatan mereka telah meragut nyawa insan tidak berdosa.
"Situasi ini menimbulkan persoalan mengenai keadilan kepada mangsa dan keluarga yang terpaksa menanggung kehilangan orang tersayang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Hafez berkata, kesan terhadap keluarga mangsa amat besar, khususnya apabila mangsa merupakan punca utama pendapatan keluarga.
beliau menegaskan kerajaan tidak boleh terus bersikap defensif atau berlengah dalam memperketatkan undang-undang berkaitan kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
"Bayangkan penderitaan isteri yang kehilangan suami dan anak-anak yang kehilangan ayah buat selama-lamanya akibat kecuaian pemandu mabuk.
"Lebih menyedihkan apabila keluarga tersebut hilang tempat bergantung, sekali gus menambah beban kehidupan mereka,” ujarnya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu, sebarang kompromi dalam kes melibatkan kehilangan nyawa adalah kegagalan dalam melindungi rakyat.
Pada Ahad media melaporkan, seorang penunggang motosikal Allahyarham Amirul Hafiz Omar maut dirempuh kereta dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta.


