
Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik menitipkan doa agar sahabatnya, Azman Karim, yang masih belum dapat dikesan susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal, ditemukan dalam keadaan selamat.
Menerusi perkongsian di media sosial, Muhammad Bakhtiar berkata, Azman merupakan antara rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi selepas bencana yang melanda kawasan berkenaan.
Menurut beliau,Azman banyak melakukan kerja kebajikan dan amal jariah, termasuk membina serta mewakafkan sebuah masjid di kampung halamannya di Kampung Geduhom, Johol, Negeri Sembilan.
Masjid berkenaan dinamakan Masjid Al-Karim, mengambil sempena nama bapa Azman. Beliau turut pernah mewakafkan ruang pejabat untuk dijadikan Pusat Perubatan Darul Syifa di Shah Alam, selain pelbagai sumbangan kebajikan lain yang mungkin tidak diketahui ramai.
Muhammad Bakhtiar berkata, isteri kepada Azman pula berasal dari Kampung Terang, Balik Pulau.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai untuk terus mendoakan keselamatan Azman, selain berharap segala amal kebajikan yang pernah dilakukannya menjadi asbab rahmat dan perlindungan Allah SWT.
“Ya Allah, permudahkanlah pencarian Hj Azman, berikanlah kekuatan dan ketabahan kepada isteri, anak-anak serta seluruh keluarganya dalam menghadapi saat yang amat sukar ini,” katanya.
Baca juga:
Tun M jelaskan sebab hadir sambutan Hari Kebangsaan
‘Terima kasih angkat bendera ASEAN’- Media Filipina kagum kejayaan Taanusiya
‘Kenapa tiba-tiba melatah?’ – Fadhli Shaari persoal tindakan PH
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan susulan banjir dan tanah runtuh yang melanda kawasan Nepal dan Tibet, China pada 26 Ogos lalu. Angka itu masih kekal berdasarkan perkembangan Kementerian Luar pada 4 September lalu.
Pada masa sama, kesemua sampel DNA waris terdekat bagi 55 rakyat Malaysia berkenaan telah selesai diperoleh pada 5 September sebagai persediaan bagi proses pengecaman, susulan penemuan beberapa jasad yang belum dikenal pasti di kawasan bencana.
Sebelum ini, sebanyak 77 rakyat Malaysia yang berjaya dikesan di Tibet dan Nepal telah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses repatriasi sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Operasi mencari dan menyelamat turut dipergiatkan dengan penghantaran 11 anggota dan pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal pada 6 September, bersama peralatan menyelamat dan pengesanan bagi membantu operasi di kawasan terjejas.
Berdasarkan senarai awal yang dikeluarkan pihak berkuasa Nepal, nama Azman Bin Karim, 60, turut tersenarai sebagai antara rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang susulan bencana tersebut.
The post ‘Haji Azman banyak buat kebajikan…’ – MP Balik Pulau titip doa buat sahabat appeared first on The Reporter.




