
BUKAN semua pasangan bertuah apabila insan yang dicintai turut menjadi sahabat paling dipercayai. Bagi pelakon Datin Intan Najuwa, itulah antara nikmat terbesar sepanjang tiga tahun bergelar isteri kepada Datuk Ahmad Azraf Azman.
Bersempena ulang tahun perkahwinan ketiga mereka, Intan menitipkan ucapan penuh rasa syukur buat lelaki yang bukan sahaja menjadi teman hidup, malah sentiasa berada di sisinya dalam setiap fasa kehidupan.
“Perkahwinan itu indah bila kita dapat berkahwin dengan sahabat baik sendiri. Sepanjang tiga tahun ini, awak sentiasa jadi yang terbaik buat saya. Terima kasih kerana sentiasa memanjakan saya, mencintai saya tanpa syarat dan sentiasa ada setiap kali saya memerlukan,” luahnya menerusi perkongsian di media sosial.
Tanggal 18 Ogos 2023 menjadi titik permulaan buat Intan dan Ahmad Azraf membina kehidupan sebagai suami isteri.
Tiga tahun berlalu, kehidupan mereka kini jauh lebih meriah dengan kehadiran dua cahaya mata perempuan, Imane Lunara dan Imane Laudya.
Buat Intan, kehadiran dua puteri kecil itu bukan sekadar melengkapkan keluarga, sebaliknya menjadi antara rezeki paling indah dalam perjalanan rumah tangga mereka.
“ALLAH telah memberkati perkahwinan kita dengan dua anak perempuan yang comel, dan saya sentiasa bersyukur atas keluarga kecil yang kita bina bersama ini,” katanya.
Saat susah, suami tetap di sisi
Di sebalik foto bahagia dan momen manis sebagai sebuah keluarga, Intan turut mengenang detik-detik sukar yang dilaluinya sepanjang bergelar ibu.
Kehamilan, proses bersalin dan tempoh selepas melahirkan bukanlah fasa yang mudah. Namun, kehadiran Ahmad Azraf ketika itu menjadi sumber kekuatan buat dirinya.
Intan mengakui suaminya tidak pernah meninggalkan dirinya, termasuk ketika ketakutan menyelubungi dirinya sebelum menjalani pembedahan dan ketika dia cuba kembali bangun serta berjalan selepas bersalin.

“Awak ada bersama di saat saya berada di fasa terendah. Sepanjang tempoh kehamilan, awak tidak pernah meninggalkan saya. Awak memegang erat tangan di dalam bilik pembedahan sewaktu saya takut.
"Awak juga ada untuk langkah pertama saya selepas bersalin,” ungkapnya.
Bukan itu sahaja, Ahmad Azraf turut menjadi tempat Intan bersandar ketika melalui malam-malam yang sukar selepas melahirkan anak, termasuk saat emosinya tidak menentu dalam tempoh berpantang.
“Awak setia bersama melalui malam-malam yang menyakitkan sewaktu saya menangis dan sepanjang fasa selepas melahirkan anak ketika emosi saya tidak menentu,
“Awak telah melihat saat saya paling rapuh dan tidak pernah sekalipun membuatkan saya rasa bersendirian,” kongsinya.
Cinta bukan hanya ketika bahagia
Pengalaman tiga tahun sebagai suami isteri membuatkan Intan melihat perkahwinan daripada perspektif yang lebih luas.
Baginya, cinta dalam rumah tangga bukan sekadar tentang berkongsi hari-hari bahagia, tetapi bagaimana pasangan terus memilih untuk berada di sisi satu sama lain apabila kehidupan tidak berjalan seperti yang diharapkan.
“Perkahwinan bukan hanya tentang saling mencintai pada hari-hari yang indah. Ia mengenai dua insan yang memilih untuk saling menjaga antara satu sama lain dalam setiap fasa kehidupan,” ujarnya.
Kini, selepas melalui pelbagai pengalaman sebagai pasangan dan ibu bapa, Intan melihat perjalanan mereka masih panjang.
Daripada kehidupan berdua selepas mendirikan rumah tangga, mereka kini membina dunia kecil bersama dua puteri yang menjadi penyeri keluarga.
Mengakhiri titipannya, Intan turut meluahkan penghargaan dan rasa cinta buat suaminya yang terus menjadi teman dalam setiap langkah kehidupan.

“Terima kasih untuk tiga tahun yang indah ini, sayang. Saya cintakan awak, sentiasa dan selamanya.
"Selamat ulang tahun perkahwinan buat kita,” katanya.
Tiga tahun mungkin masih terlalu awal untuk menceritakan keseluruhan perjalanan sebuah rumah tangga, namun bagi Intan, setiap bahagia, cabaran dan kenangan yang dilalui bersama menjadi bukti bahawa kehidupan lebih bermakna apabila ada insan yang memilih untuk kekal di sisi dalam setiap keadaan.





