
KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mahu sekadar bergantung kepada formula lama dalam misi bergelar juara keseluruhan Sukan SEA 2027 apabila memperkenalkan Jawatankuasa Audit Penilaian Prestasi bagi menilai persiapan atlet negara dari fasa awal hingga menjelang temasya itu.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, jawatankuasa yang diterajui Datuk Marina Chin itu akan bertindak sebagai penilai luar terhadap keberkesanan program latihan kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), selain mengemukakan cadangan penambahbaikan.
“Ini adalah usaha baharu kementerian melalui MSN dengan melibatkan lebih ramai pakar dari luar yang boleh membantu menambah baik program sedia ada. Kita mahu memastikan jurulatih dan atlet diberikan sokongan terbaik untuk persiapan serta prestasi menjelang Sukan SEA dan Para ASEAN 2027,” katanya.
Menurut Jefri, pendekatan kali ini berbeza berbanding ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017 apabila proses penilaian prestasi ketika itu dilaksanakan sendiri oleh MSN dan ISN tanpa kewujudan jawatankuasa audit berasingan.
“Sebagai pihak yang melaksanakan program latihan, kita perlukan input daripada luar untuk memberikan cadangan selain daripada apa yang kita fikirkan atau laksanakan selama ini. Sebab itu impak jawatankuasa ini sangat penting untuk kita menambah baik program yang ada,” katanya.
Malah, jawatankuasa berkenaan diberikan ruang mengadakan sesi libat urus secara langsung bersama atlet dan jurulatih di pusat latihan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan atau aspek yang perlu diperbaiki sepanjang tiga fasa persiapan.
Jefri bagaimanapun mengakui misi muncul juara keseluruhan bukan tugas mudah terutama apabila Thailand dan Indonesia turut dijangka melakukan persiapan besar untuk mencabar Malaysia di laman sendiri.
“Bukan mudah untuk menjadi juara. Semua sedia maklum Thailand dan Indonesia akan menjadi pesaing kita dan mereka juga membuat persiapan rapi. Jadi, kita perlu meningkatkan persiapan bagi memastikan sasaran menjadi juara keseluruhan serta naib juara Sukan Para ASEAN dapat dicapai,” jelasnya.
Jawatankuasa tersebut turut dibarisi pakar tempatan daripada pelbagai bidang termasuk akademik, perubatan dan psikologi serta bekas atlet kebangsaan dengan Jefri yakin kepakaran mereka mampu memberikan perspektif lebih menyeluruh dalam menilai persiapan kira-kira 1,300 atlet yang dijangka menghadapi Sukan SEA 2027. KOSMO! ONLINE
The post Audit baharu buru takhta SEA appeared first on Kosmo Digital.





