Hakim Danish buru rentak awal di Assen

25 Jun 2026 • 10:42 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hakim Danish buru rentak awal di Assen
Hakim Danish mahu melupakan kejayaan di Brno dan fokus kepada saingan di Assen. FOTO: FB Hakim Danish

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli memberi tumpuan utama terhadap usaha mencari rentak awal sebaik membuka saingan Grand Prix (GP) Belanda di Litar TT Assen hujung minggu ini, selepas mencipta kemenangan sulung bersejarah di pentas Moto3 di Brno minggu lalu.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu hadir ke Assen dengan keyakinan tinggi selepas kejayaan di Republik Czech yang menyaksikannya meraih 25 mata maksimum, sekali gus melonjak ke tangga ketujuh keseluruhan dengan 73 mata selepas sembilan pusingan musim ini.

Bagaimanapun, Hakim Danish menegaskan sesi latihan bebas pertama (FP1) menjadi fokus utama bagi memastikan beliau segera menyesuaikan diri dengan karakter litar serta membina keyakinan awal sepanjang hujung minggu perlumbaan.

“Saya perlu cari rentak awal seperti di Brno. Penting untuk faham litar dan jentera dengan cepat supaya saya boleh bina keyakinan sepanjang hujung minggu,” katanya.

Litar TT Assen yang terkenal dengan selekoh berkelajuan tinggi serta susun atur teknikal menuntut ketepatan, konsistensi dan pengurusan tayar yang baik sepanjang perlumbaan.

Namun, Hakim Danish tidak berdepan situasi asing di litar berkenaan apabila pernah beraksi dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC), satu kelebihan yang dijangka membantu proses penyesuaian awal.

Pelumba kelahiran Terengganu itu menegaskan kejayaan di Brno sudah menjadi sejarah dan kini beliau perlu kembali memberi tumpuan penuh kepada cabaran baharu di Assen.

“Saya gembira dengan kemenangan di Brno tetapi ia sudah berlalu. Sekarang saya perlu reset dan fokus sepenuhnya kepada Assen,” katanya.

Sebagai rekod, rekod terbaiknya di Assen adalah menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 semasa saingan RBMRC pada 2024.

Dalam masa sama, Hakim Danish menzahirkan penghargaan kepada pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, penaja serta penyokong yang terus memberikan sokongan berterusan sepanjang musim ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan, penaja terutamanya AEON Credit Service Malaysia dan semua penyokong yang sentiasa percaya kepada saya,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved