Halal bukan sekadar logo pada bungkusan – Dr. Zulkifli

LocalFood
20 Oct 2026 • 9:59 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Halal bukan sekadar logo pada bungkusan – Dr. Zulkifli

PETALING JAYA – Isu melibatkan status halal makanan tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait rapat dengan tuntutan agama, amanah serta tanggungjawab terhadap pengguna Muslim.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau menerima banyak pertanyaan berhubung isu tular penyembelihan ayam oleh warga asing yang didakwa tidak mematuhi kaedah ditetapkan syarak.

Menurut beliau, kebimbangan sama turut timbul susulan laporan mengenai kemasukan daging ayam sejuk beku melalui pintu sempadan yang menimbulkan keraguan terhadap status halalnya.

“Lebih membimbangkan, ayam tersebut didakwa dibawa masuk ke Malaysia sebelum dibungkus semula di premis yang telah memperoleh pensijilan halal, lalu dipasarkan kepada pengguna.

“Isu ini bukan perkara kecil kerana ia melibatkan soal halal dan haram, amanah dalam pensijilan serta keyakinan umat Islam terhadap makanan yang mereka konsumsi setiap hari,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli memetik firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat 121 yang melarang umat Islam memakan haiwan sembelihan yang tidak disebut nama Allah ketika disembelih.

Katanya, nas berkenaan menjadi peringatan bahawa soal makanan halal bukan perkara yang boleh dipandang ringan atau sekadar urusan perdagangan dan perniagaan.

“Halal bukan sekadar logo pada bungkusan. Halal ialah amanah yang mesti dipelihara, daripada proses penyembelihan sehinggalah makanan itu sampai ke meja pengguna,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan.

“Walau bagaimanapun, saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berwibawa untuk menyiasat dan memberikan penjelasan berdasarkan fakta, bukti serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Semoga segala persoalan dapat dirungkai dengan telus demi memelihara kesucian halal dan kepentingan umat Islam,” katanya.- KOSMO! ONLINE

The post Halal bukan sekadar logo pada bungkusan – Dr. Zulkifli appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved