Halang ambulans ketika kecemasan, penunggang motosikal ditahan

23 Oct 2026 • 8:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Halang ambulans ketika kecemasan, penunggang motosikal ditahan
Tangkap layar video yang memaparkan sebuah motosikal menghalang laluan ambulans di Bayan Lepas.

BALIK PULAU – Tindakan seorang penunggang motosikal yang dipercayai menghalang laluan sebuah ambulans ketika dalam kecemasan di Jalan Sultan Azlan Shah, Sungai Tiram, Bayan Lepas membawa padah apabila dia ditahan polis pada Jumaat.

Penahanan itu dibuat susulan penularan video berdurasi 44 saat yang memaparkan kejadian berkenaan menerusi akaun TikTok MRCS Penang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya mengesan video tersebut pada Jumaat sebelum berjaya mengenal pasti dan menahan lelaki yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

“Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memberikan keutamaan kepada kenderaan kecemasan yang sedang menjalankan tugas.

"Tindakan menghalang laluan kenderaan kecemasan boleh menjejaskan usaha menyelamatkan nyawa terutama ketika pesakit memerlukan bantuan segera.

"Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis," ujarnya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved