liza18/11/2026 - 16:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 18 Nov – Seramai 76 daripada 166 pekerja CJ Bio Malaysia Sdn Bhd yang diberhentikan susulan penutupan operasi syarikat itu di Kerteh telah menerima tawaran pekerjaan baharu menerusi Karnival Kerjaya Career Crafting yang diadakan baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, seramai 383 pekerja terjejas akibat penutupan operasi berkenaan melibatkan 372 pekerja di Kerteh dan 11 lagi di ibu pejabat syarikat di Petaling Jaya, Selangor.
Beliau berkata, penamatan pekerjaan secara rasmi berkuat kuasa pada 15 Oktober 2026 susulan cabaran persaingan ekonomi global, khususnya persaingan harga yang menjejaskan kelangsungan operasi syarikat.
Menurutnya, daripada 166 pekerja yang menghadiri Karnival Kerjaya Career Crafting anjuran TVETMARA Kemaman itu, seramai 29 orang lagi menerima panggilan untuk menghadiri temu duga kedua manakala 47 masih menunggu keputusan temu duga berdasarkan laporan terkini Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Ini bermakna, selain 76 pekerja yang sudah menerima tawaran pekerjaan, 76 lagi masih berada dalam proses mendapatkan pekerjaan menerusi program berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: CJ Bio tutup kilang di Terengganu, 383 pekerja hilang punca pendapatan
Pelbagai inisiatif bantu pekerja terjejas
“Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC), PERKESO, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Tenaga Kerja bagi membantu pekerja terjejas mendapatkan pekerjaan baharu.
“Selain itu, Karnival Lindung Kerjaya MyFutureJobs yang berlangsung di Politeknik Sultan Zainal Abidin, Dungun berjaya membantu enam pekerja mendapatkan tawaran pekerjaan, manakala sembilan lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata syarikat IGNIS Sdn Bhd di Kemaman turut mengadakan sesi temu duga yang dihadiri 130 pekerja CJ Bio.
“Kerajaan negeri akan meneruskan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan lebih ramai pekerja yang terjejas memperoleh pekerjaan baharu.
“Kehilangan pekerjaan bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah turut melibatkan keluarga dan tanggungan mereka dan kita mahu memastikan pekerja terjejas mendapat sokongan sewajarnya menerusi peluang pekerjaan baharu, latihan kemahiran serta program peningkatan kebolehpasaran,” katanya. - DagangNews.com






