Hampir 800 sertai pertandingan wau Terbuka Kuala Langat

27 Apr 2026 • 10:35 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hampir 800 sertai pertandingan wau Terbuka Kuala Langat
Rokiah (empat dari kanan) bergambar bersama pemenang serta wau yang digunakan.
Image from: Hampir 800 sertai pertandingan wau Terbuka Kuala Langat
Rokiah bersama sebahagian pemenang dan peserta pertandingan Wau Terbuka Kuala Langat.

BANTING – Hampir 800 peserta menyertai Pertandingan Wau Poncot Tradisional Terbuka Kuala Langat yang berlangsung di Padang Awam Kampung Kundang di sini pada Ahad.

Pertandingan anjuran Wakjai Event Management itu menyaksikan pelayang dari kelab Dolphin, Mohd Norhelmi Manan muncul juara selepas menewaskan pencabar dari pasukan Assola dan Cempaka pada peringkat akhir yang melibatkan 10 peserta terbaik.

Tempat kedua dimenangi Mohd Isma Hakimi dari Pasukan Assola, manakala tempat ketiga menjadi milik Mohd Firdaus Mohd Othman dari Pasukan Cempaka.

Dengan kemenangan itu, Mohd Norhelmi membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, diikuti Mohd Isma (RM1,500) dan Mohd Firdaus (RM1,000).

Hadiah disampaikan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat, Rokiah Kolamhery. Turut hadir Pengerusi MPKK Kampung Kundang, Suhaimi Miskam serta Pengurus Wakjai Event Management, Md Zali Kasran.

**media[3503360]**

Mohd Norhelmi berkata, dia berasa gementar ketika memasuki pusingan akhir, lebih-lebih lagi apabila berdepan peserta berpengalaman.

“Saya berdepan dengan pasukan Cempaka yang memenangi dua pertandingan sebelum ini serta wakil Assola yang turut mempunyai wau yang baik.

“Namun, saya bernasib baik apabila angin bertiup tepat ke arah wau sebaik wisel permulaan ditiup, sekali gus membantu saya meraih kemenangan,” katanya yang bekerja sebagai operator kilang.

Sementara itu, Rokiah berkata, Padang Awam Kampung Kundang berpotensi dijadikan lokasi tetap bagi penganjuran pertandingan wau kerana faktor kawasan yang terbuka serta aliran angin yang sesuai.

“Wau merupakan permainan tradisi yang perlu dipelihara sebagai warisan negara. Justeru, kemudahan lokasi tetap penting bagi memastikan aktiviti seperti ini terus dilaksanakan,” ujarnya.