SETIU – Cuaca panas tahap satu sejak awal pagi seolah-olah membawa tuah kepada Ahmad Farizal Mohd Arif, 48, apabila muncul juara Jelajah Joran Pantai Timur (JJPT) di Pantai Kampung Mangkuk di sini pada Sabtu.
Peserta dari Kemaman, Terengganu itu berjaya menaikkan ikan todak seberat 1.8 kilogram (kg) kira-kira setengah jam sebelum pertandingan tamat, sekali gus melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000.
Tempat kedua dimenangi Zahri Mamat, 61, dengan tangkapan todak seberat 1.07kg yang membolehkannya membawa pulang RM1,000, manakala tempat ketiga menjadi milik Yazid Dollah, 65, selepas menaikkan ikan todak seberat 0.70kg dan menerima RM500.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Projek West Coast Surfcaster (WCS), Sahidan Yahya.
Pertandingan sempena Tahun Melawat Malaysia itu disertai 318 peserta dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.
**media[3496150]**
Dalam perkembangan berkaitan, laporan cuaca lewat petang semalam memaklumkan dua lokasi di negara ini merekodkan titik panas tahap satu, iaitu di Perlis dan Setiu, yang turut menjadi lokasi penganjuran pertandingan berkenaan.
Ahmad Farizal yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, pada awalnya beliau menyasarkan untuk menaikkan spesies pari atau ebek seperti yang pernah diperoleh pada edisi lalu.
“Namun, cuaca terlalu panas dan air laut sangat jernih, jadi agak sukar untuk spesies pari menghampiri pantai dalam keadaan begitu.
“Justeru, saya mengubah strategi dengan mensasarkan todak menggunakan umpan udang hidup dan menukar sistem perambut. Alhamdulillah, hasilnya saya berjaya menaikkan ikan kira-kira setengah jam sebelum pertandingan tamat,” katanya.
Menurut penganjur, ini merupakan siri kedua JJPT anjuran WCS tahun ini selepas siri pertama berlangsung di Pantai Senok, Kelantan pada awal Februari lalu.
Siri ketiga pula dijadualkan berlangsung di Pantai Sepat pada Julai depan.




![[VIDEO] Musim menjala, candat sotong tepi pantai cetus fenomena luar biasa](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)