Magma, Chagee Malaysia bekerjasama buka 300 cawangan baharu dalam 3 tahun

16/05/2025 - 16:40
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 16 Mei – Magma Group Bhd membentuk usaha sama dengan Chagee (M) Sdn Bhd bagi melancarkan 300 cawangan Chagee di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Chagee memasuki pasaran Malaysia pada 2019 dengan nama BaWangChaJi, sebelum menyatukan penjenamaan globalnya di bawah nama Chagee pada September 2021.
Kerjasama Chagee dan Magma akan menjadi platform utama untuk membangunkan outlet berjenama dan inisiatif komersial dalam segmen teh dan minuman premium.
Chagee akan memegang 60% saham dalam kerjasama itu manakala Magma Chain Management (MCM) akan memiliki baki 40%.
Usaha sama itu merupakan langkah penting dalam usahanya untuk mempelbagaikan sektor runcit makanan dan minuman premium.
Pelancaran akan berlaku secara berperingkat, bergantung pada keadaan pasaran.
Perkongsian itu secara strategik menggabungkan reputasi jenama Chagee, pengiktirafan antarabangsa dan produk premium dengan pengetahuan pasaran tempatan dan keupayaan pembangunan Magma untuk menyokong pelancaran cawangan baharu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Magma, Datuk Seri Thomas Liang Chee Foong berkata, usaha sama ini mencerminkan visi strategik syarikat untuk mempelbagaikan perniagaan dalam segmen gaya hidup dan pengguna yang berkembang pesat.
"Kerjasama ini memanfaatkan kecekapan operasi Chagee yang terbukti serta daya tarikan kukuh pengguna, yang disokong penyenaraian di Nasdaq selain kepakaran Magma dalam pembangunan dan pelaksanaan pasaran tempatan.
"Kami melihat peluang besar untuk meraih nilai signifikan dalam pasaran teh premium Malaysia yang sedang berkembang," katanya dalam satu kenyataan.- DagangNews.com
standard

