
PETALING JAYA – Hampir setahun selepas anak kepada bekas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli diserang dan dicucuk menggunakan jarum suntikan, isterinya mendedahkan mereka masih belum menerima sebarang perkembangan terbaharu berhubung kes tersebut.
Menerusi perkongsian di Threads, isteri Rafizi yang menggunakan akaun @fishaofish berkata, kejadian itu kembali menghantuinya selepas menonton rakaman video serangan ke atas pencipta kandungan YouTube dan pengkritik bola sepak tempatan, Azizurrahman Zakaria atau Joe Zakaria pada 11 Julai lalu.
“Anak saya pun diserang (disuntik di tangan) semasa kami hendak memasuki kereta di tempat menunggu depan pusat beli-belah di Putrajaya.
“Lagi beberapa hari, nak masuk setahun kejadian itu. Saya trauma menonton video ini sebab MO sama, dua orang naik motor, berhenti sebelah kereta, maki hamun saya selepas suspek melepaskan anak saya. Sampai sekarang, tiada perkembangan terbaharu kes anak saya,” katanya.
Menurutnya, anaknya yang ketika kejadian belum berusia 12 tahun mengalami dua kesan cucukan pada bahagian lengan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan kesihatan yang dilakukan selepas enam bulan mendapati anaknya berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah, tak ada apa-apa. Hanya dua kesan cucukan di lengan dan ujian kesihatan anak saya selepas enam bulan ok.
“Kami berpendapat mereka nak ugut saya dengan cederakan anak saya sebab suspek pusingkan anak saya dan cucuk tangannya untuk saya nampak.
“Suspek juga jerit ‘aku cucuk kau’. Ada ramai orang waktu itu dan kebetulan ada polis bantuan di sebelah saya,” dakwanya.
Menurut wanita itu, polis bantuan yang berada berhampiran ketika kejadian pada mulanya tidak mengetahui apa yang berlaku sebelum rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diperiksa.
“Bila polis bantuan periksa CCTV, baru nampak apa yang berlaku. Hanya saya masih tak dapat tengok CCTV itu. Sampai hari ini, kami masih tak dapat tengok rakaman CCTV tersebut,” katanya.
Dalam satu lagi respons kepada pengguna media sosial, dia mendakwa keluarganya tidak mempunyai sebarang masalah dengan individu tertentu, namun percaya kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan pihak yang mempunyai masalah dengan suaminya.
“Tak ada masalah dengan orang itu tapi orang yang ada kuasa ada masalah dengan suami saya. Jadi, mereka hantar orang ugut saya dengan cederakan anak saya yang belum lagi masuk 12 tahun semasa kejadian,” dakwanya.
Terdahulu, pada 13 Ogos tahun lalu, Rafizi memaklumkan anak lelakinya diserang dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar ketika mahu memasuki kenderaan di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Rafizi ketika itu berkata, anaknya diheret sebelum dicucuk menggunakan jarum suntikan, manakala semakan mendapati dua lelaki bermotosikal dipercayai telah mengekori kenderaan isterinya.
Beliau turut menyifatkan serangan berkenaan sebagai satu bentuk amaran supaya dirinya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu. – KOSMO! ONLINE
The post Hampir setahun, kes anak dicucuk jarum masih tiada perkembangan – Isteri Rafizi appeared first on Kosmo Digital.






