JITRA – Pasangan suami isteri yang sebelum ini dilaporkan hilang bersama anak mereka sejak 20 Julai direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan duit kutu.
Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri mengeluarkan perintah reman tersebut terhadap kedua-dua suspek berusia 39 dan 36 tahun itu di Mahkamah Majistret Jitra, di sini bermula Khamis hingga Ahad ini.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana dipercayai terbabit dalam kesalahan menipu.
**media[3606758]**
ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan suami isteri dilapor hilang ditahan selepas serah diri
Terdahulu, media melaporkan pasangan berkenaan yang menyerah diri pada pagi Khamis dibawa ke Mahkamah Jitra dengan menaiki lori polis kira-kira jam 9 pagi bagi mendapatkan perintah reman.
Sebelum ini, media melaporkan tiga beranak berkenaan dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam dan gagal dihubungi sejak itu.
Kehilangan mereka mendorong bapa kepada wanita terbabit yang berusia 62 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas gagal mengesan anak perempuannya, menantu serta cucunya.
**media[3606757]**
Hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan mendapati keluarga berkenaan pulang ke rumah menggunakan sebuah kenderaan pada jam 1.12 pagi Isnin sebelum keluar semula tidak lama kemudian.
Dalam perkembangan berkaitan, polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan kehilangan tiga beranak itu mempunyai kaitan dengan hutang bermain kutu.
Ia susulan satu laporan polis diterima daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM25,000 akibat urusan kutu berkenaan.






